PUTERA Mahkota Mohammed Salman. FOTO fail AFP
PUTERA Mahkota Mohammed Salman. FOTO fail AFP
AFP

Riyadh: Arab Saudi menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$400 juta (RM1.88 bilion) kepada Ukraine.

Agensi berita rasmi SPA yang menyiarkan pengumuman rasmi Arab Saudi itu berkata, Putera Mahkota Mohammed Salman sudah membuat panggilan telefon dengan Presiden Volodymyr Zelensky.

Mohammed menekankan, kerajaan itu akan menyokong segala usaha untuk meredakan ketegangan selain menyatakan kesediaan mereka untuk meneruskan usaha sebagai pengantara dalam konflik berkenaan.

Arab Saudi bulan lalu memainkan peranan yang tidak dijangka dalam memudahkan pertukaran tawanan perang antara Moscow dan Kyiv.

Perang di Ukraine, bagaimanapun mencetuskan ketegangan antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat selepas kerajaan itu sebahagian besarnya menentang tekanan untuk meningkatkan pengeluaran minyak bagi meredakan krisis tenaga akibat konflik itu.

Kerajaan itu mendapat kritikan dari Washington selepas kumpulan pengeksport minyak Opec yang diketuai Arab Saudi bersetuju dengan pengurangan pengeluaran drastik kepada Rusia dan negara sekutu lain, yang boleh menyebabkan harga tenaga melonjak lebih tinggi.

Washington menuduh Opec+ melakukan penyelarasan dengan Moscow dan pada Rabu lalu, Presiden Joe Biden mengancam mengenai 'kesan' atas tindakan Arab Saudi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 10:38 AM