DELEGASI rundingan Rusia dan Ukraine dalam pertemuan pertama di Belerus pada 28 Februari. FOTO EPA.
DELEGASI rundingan Rusia dan Ukraine dalam pertemuan pertama di Belerus pada 28 Februari. FOTO EPA.
AFP

Kyiv: Rusia dan Ukraine bertemu pada Isnin untuk perbincangan pertama sejak perang bermula minggu lalu dengan Kyiv menuntut "genjatan senjata segera" setelah jumlah pelarian yang meninggalkan negara itu kini melebihi 500,000 orang.

Delegasi tiba untuk rundingan di sempadan Belarus dan Ukraine pada hari kelima pencerobohan Moscow, dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky membuat tuntutan itu dan "penarikan tentera" yang Moscow hampir pasti akan menolak.

"Saya tidak begitu percaya dengan keputusan pertemuan ini, tetapi biarkan mereka mencuba," kata Zelensky.

Sekatan kewangan teruk dikenakan Barat ke atas Moscow menunjukkan kesan pada pagi Isnin, dengan mata wang Rusia jatuh ke paras terendah dan bank pusat Rusia menggandakan kadar faedah kepada 20 peratus.

Sekatan yang menyasarkan sektor kewangan negara itu bertujuan untuk mengubah kalkulus pemimpin Kremlin, namun kira-kira 100,000 tentera Rusia dilapor berada di lapangan, meneruskan pencerobohan ke atas Ukraine dari utara, timur dan selatan.

Pegawai pertahanan Barat dan kerajaan Kyiv berkata, tentangan daripada tentera Ukraine telah menghalang ibu negara itu jatuh ke tangan Rusia walaupun pencerobohan berlaku hujung minggu lalu termasuk di bandar kedua terbesar, Kharkiv.

"Tentera Rusia telah mengurangkan rentak serangan," kata anggota tentera Ukraine pada Isnin, sekali lagi mendakwa Moscow mengalami 'kerugian besar'. Bagaimanapun, bandar kecil selatan Berdyansk telah diduduki tentera Rusia.

Di Kyiv, penduduk mula keluar untuk membeli makanan selepas penarikan perintah berkurung yang dikenakan pada Sabtu.

Moscow berkata, ia kini 'memperoleh kelebihan ke atas seluruh wilayah Ukraine' sambil menuduh tentera Ukraine menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Ahad mengarahkan pasukan nuklearnya dalam keadaan berjaga-jaga sebagai tindak balas kepada apa yang disifatkannya langkah "tidak mesra" oleh Barat.

"Sekatan Barat ke atas Rusia adalah keras, tetapi negara kami mempunyai potensi yang diperlukan untuk mengimbangi kerosakan itu," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada wartawan.

Ukraine melaporkan 352 kematian orang awam, termasuk 14 kanak-kanak, manakala tenteranya mendakwa telah membunuh 4,300 tentera Rusia sejak pencerobohan berlaku.

Rusia mengakui ada anggota tenteranya terbunuh atau cedera, tanpa memberikan angka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 12:38 AM