RUMAH penduduk yang masih berlumpur di  Firouzkouh, timur Tehran.  FOTO AFP
RUMAH penduduk yang masih berlumpur di Firouzkouh, timur Tehran. FOTO AFP
AFP

Tehran: Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh, dan 30 lain hilang dalam banjir lebih seminggu di seluruh Iran, lapor media kerajaan pada Sabtu.

Sejak 23 Julai lalu, "59 mati dan 30 masih hilang dalam insiden yang disebabkan oleh banjir baru-baru ini", kata Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah, Yaghoub Soleimani, yang dipetik agensi berita Iran, Irna.

Itu adalah tambahan angka mangsa dalam banjir kilat disebabkan hujan lebat di wilayah selatan Fars yang biasanya kering DAN menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh, sejurus sebelum permulaan bulan Mordad dalam kalendar Iran.

Ramai daripada mangsa itu menghabiskan hari mereka di tepi sungai.

Yaghoub menyatakan bahawa 60 bandar, 140 pekan dan lebih 500 kampung di seluruh negara dengan kira-kira 83 juta orang terjejas oleh banjir.

Wilayah Tehran adalah yang paling teruk dilanda banjir dengan 35 kematian.

Wilayah Mazandaran merekodkan jumlah tertinggi orang hilang iaitu 20 orang berdasarkan senarai yang diterbitkan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, dalam surat yang diterbitkan di laman sesawangnya pada Sabtu, menyatakan takziah kepada keluarga dan meminta pihak berkuasa untuk mengambil langkah perlu untuk membaiki kerosakan.

Presiden Ebrahim Raisi melawat kawasan yang dilanda banjir di wilayah Firouzkouh di timur ibu negara, kata pejabatnya.

Kerosakan teruk berlaku terutamanya disebabkan tanah runtuh pada lewat Khamis yang meragut 14 nyawa, menurut media kerajaan.

Video dan gambar yang disiarkan oleh media Iran dan di media sosial menunjukkan rumah dan kereta diselaputi lumpur, pada masa sama orang ramai cuba mencari barang-barang mereka.

Pusat meteorologi Iran pada Sabtu memberi amaran mengenai lebih banyak hujan di wilayah selatan dan utara negara itu, dalam beberapa hari akan datang.

Pada 2019, hujan lebat di selatan Iran menyebabkan sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh dan menyebabkan kerosakan dianggarkan lebih AS$2 bilion (kira-kira RM8.9 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 11:34 AM