DUA lelaki berdiri di celah runtuhan rumah mereka yang musnah akibat gempa bumi di wilayah Hormozgan, selatan Iran. FOTO EPA
DUA lelaki berdiri di celah runtuhan rumah mereka yang musnah akibat gempa bumi di wilayah Hormozgan, selatan Iran. FOTO EPA
AFP

Tehran: Sekurang-kurangnya lima terbunuh, manakala 19 cedera apabila gempa bumi kuat menggegarkan selatan Iran awal pagi ini, lapor agensi berita Irna.

Gempa bumi bermagnitud 6.0 melanda di kawasan terletak 100 kilometer barat daya bandar pelabuhan Bandar Abbas di wilayah Hormozgan, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Gempa bumi itu berlaku hanya seminit selepas gempa bermagnitud 5.7.

Gabenor Hormozgan Mahdi Dosti berkata, gempa itu membunuh lima orang dan mencederakan 19 yang lain, lapor IRNA.

Dosti berkata, kebanyakan kerosakan berlaku di Kampung Sayeh Khost berhampiran dengan pusat gempa.

Seorang terbunuh pada November tahun lalu apabila wilayah Hormozgan dilanda gempa berkembar bermagnitud 6.4 dan 6.3.

Terletak di pinggir beberapa plat tektonik dan melintasi pelbagai garisan sesar, Iran ialah kawasan aktiviti seismik yang kuat.

Gempa paling dahsyat di Iran ialah gegaran 7.4 magnitud yang melanda pada 1990 mengorbankan 40,000 orang di utara negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 3:03 PM