INDIVIDU dijangkiti cacar monyet (gambar fail). FOTO AFP
INDIVIDU dijangkiti cacar monyet (gambar fail). FOTO AFP
AFP

Manila: Filipina mengesan kes pertama cacar monyet membabitkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, lapor pegawai kesihatan negara itu pada Jumaat.

Pengumuman itu dibuat dalam tempoh seminggu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai tahap kecemasan kesihatan global.

Pegawai Jabatan Kesihatan Filipina tidak mendedahkan jantina individu itu, hanya memberitahu ia berusia 31 tahun dan diuji positif pada Khamis selepas ujian RT-PCR.

"Kes itu pernah melakukan perjalanan ke negara yang mempunyai kes cacar monyet yang didokumenkan," kata Beverly Ho, pemangku setiausaha untuk Jabatan Kesihatan.

"Sepuluh kenalan rapat direkodkan dan tiga daripadanya dari rumah yang sama. Semua dinasihatkan untuk dikuarantin dan sedang dipantau oleh jabatan."

Lonjakan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak Mei di Barat dan Afrika Tengah yang mana penyakit itu sudah lama menjadi endemik.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu dilaporkan berkata, lebih 18,000 kes kini dilaporkan membabitkan 78 negara, dengan 70 peratus daripadanya di Eropah dan 25 peratus di Amerika.

Lima kematian dilaporkan sejak Mei, katanya.

Filipina berusaha mengelak panik dalam kalangan masyarakat negara itu dengan mengeluarkan kenyataan penyakit cacar monyet tidak seperti Covid-19.

"Ini bukan seperti Covid-19 yang boleh disebarkan melalui udara dengan sangat mudah dan mungkin boleh membawa maut," kata Trixie Cruz-Angeles, setiausaha akhbar kepada Presiden Ferdinand Marcos Jr.

Ho berkata, Filipina bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mendapatkan vaksin cacar monyet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 3:44 PM