LONJAKAN kes cacar monyet telah dikesan di luar negara Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu telah lama menjadi endemik. FOTO AFP / Brian W.J. Mahy, BSc, MA, PhD, ScD, DSc / Centers for Disease Control and Prevention
LONJAKAN kes cacar monyet telah dikesan di luar negara Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu telah lama menjadi endemik. FOTO AFP / Brian W.J. Mahy, BSc, MA, PhD, ScD, DSc / Centers for Disease Control and Prevention
AFP

Penyelidik di Itali yang mula-mula mengenal pasti kehadiran cacar monyet dalam air mani memperluaskan ujian mereka dan mendedahkan keputusan awal yang mencadangkan sperma boleh menjadi 'perantara' untuk jangkitan.

Satu pasukan di Hospital Spallanzani Rom, yang pakar dalam penyakit berjangkit, mendedahkan dalam kajian yang diterbitkan pada 2 Jun lalu bahawa DNA virus itu dikesan dalam air mani tiga daripada empat lelaki yang didiagnosis dengan cacar monyet.

Menurut pengarah Francesco Vaia, mereka telah mengembangkan kajian dan menemui kehadiran cacar monyet dalam sperma 14 lelaki yang dijangkiti daripada 16 yang dikaji.

"Penemuan ini memberitahu kita bahawa kehadiran virus dalam sperma bukanlah kejadian yang jarang berlaku atau rawak," kata Vaia kepada AFP dalam satu temu bual.

Katanya, jangkitan boleh berjangkit semasa hubungan seksual melalui sentuhan langsung dengan luka pada kulit, tetapi kajian menunjukkan bahawa air mani juga boleh menjadi perantara untuk jangkitan.

Penyelidik di Spallanzani mengenal pasti kes pertama cacar monyet di Itali, ditemui pada dua lelaki yang baru pulang dari Kepulauan Canary.

Keputusan terkini yang dilaporkan oleh Vaia masih belum diterbitkan atau tertakluk kepada semakan rakan setara.

Sejak awal Mei, lonjakan kes cacar monyet telah dikesan di luar negara Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu telah lama menjadi endemik. Kebanyakan kes baharu berlaku di Eropah Barat.

Lebih 3,400 kes yang disahkan dan satu kematian kini telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari lebih 50 negara tahun ini.

Sebilangan besar kes setakat ini dapat dilihat berlaku dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, berusia muda, terutamanya di kawasan bandar, dalam 'rangkaian sosial dan seksual berkelompok'", menurut WHO.

Ia sedang menyiasat kes ujian air mani yang positif untuk cacar monyet, tetapi telah mengekalkan virus itu disebarkan terutamanya melalui kontak rapat.

Meg Doherty, pengarah program HIV global, hepatitis dan jangkitan seksual WHO pada minggu lalu berkata, pihaknya tidak memanggil jangkitan cacar monyet sebagai jangkitan seksual.

Penyelidik Spallanzani kini cuba memastikan berapa lama virus itu hadir dalam sperma selepas timbulnya gejala.

Dalam satu pesakit, DNA virus dikesan tiga minggu selepas gejala pertama kali muncul, walaupun selepas luka pada kulit telah hilang fenomena yang dikatakan Vaia pernah dilihat pada masa lalu dalam jangkitan virus seperti Zika.

Ia menunjukkan bahawa risiko penularan cacar monyet boleh dikurangkan dengan penggunaan kondom dalam beberapa minggu selepas pemulihan, katanya.

Pasukan Spallanzani juga sedang melihat rembesan faraj untuk mengkaji kehadiran virus itu.

Penemuan penting daripada kajian pertama ialah apabila virus itu dibiakkan di makmal, ia 'hadir dalam air mani sebagai virus hidup, berjangkit, cekap membiak sendiri', Vaia memberitahu AFP.

Vaia memberi amaran bahawa masih terdapat banyak soalan yang belum terjawab mengenai cacar monyet, termasuk sama ada terapi antivirus boleh memendekkan masa di mana orang yang mempunyai virus itu boleh menjangkiti orang lain.

Satu lagi ialah sama ada vaksin cacar boleh melindungi orang daripada virus cacar monyet.

"Untuk mengkaji ini, kami akan menganalisis orang yang telah diberi vaksin 40 tahun lalu sebelum jangkitan cacar (smallpox) diisytiharkan hilang," kata Vaia.

Setakat ini, lebih 50 negara di mana cacar monyet bukan diisytihar endemik telah melaporkan wabak berkenaan kerana kes yang disahkan melebihi 5,100.

Cacar monyet, yang merebak melalui hubungan rapat dan pertama kali ditemui pada monyet, kebanyakannya berlaku di barat dan tengah Afrika dan hanya sekali-sekala merebak di tempat lain.

Antara negara Asia Pasifik yang merekodkan kes ini adalah Australia, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.

Pada Rabu lalu, WHO merayu agar semua pihak mengambil langkah berwaspada untuk memastikan cacar monyet tidak merebak dalam kalangan kumpulan rentan, seperti kanak-kanak.

Memerangi virus memerlukan usaha 'bersungguh-sungguh', kata WHO, menyeru pengumpulan data yang luas dan berkongsi tentang keberkesanan vaksin terhadap virus itu.

"Saya bimbang tentang penularan yang berterusan kerana ia akan mencadangkan bahawa virus itu berkembang dengan sendirinya dan ia boleh berpindah ke kumpulan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, wanita yang lemah imun dan hamil," kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita.

Setakat ini, terdapat dua kes berumur bawah 18 tahun di Britain.

Ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan meminta kajian yang sangat teliti tentang vaksin dalam kumpulan populasi yang berbeza supaya mendapat data yang boleh digunakan secara meluas, dan untuk memastikan bahawa kanak-kanak, wanita hamil dan mereka yang mengalami kerintangan imun dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam ujian.

Sehingga 22 Jun lalu, 3,413 kes cacar monyet sudah disahkan oleh makmal dan satu kematian dilaporkan kepada WHO, dari 50 negara.

Negara yang mempunyai kes tiga angka ialah Britain (793), Jerman (521), Sepanyol (520), Portugal (317), Perancis (277), Kanada (210), Belanda (167) dan Amerika Syarikat (142).

Minggu lalu agensi kesihatan PBB mengadakan jawatankuasa kecemasan pakar untuk memutuskan sama ada cacar monyet boleh ditakrif apa yang dipanggil Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), penggera tertinggi yang boleh dibunyikan oleh WHO.

Tetapi majoriti mendapati keadaan masih belum melepasi ambang itu.

Namun, Tedros berkata, jawatankuasa itu mengakui kewujudan unsur kecemasan bagi jangkitan berkenaan dan mengawal penyebaran selanjutnya memerlukan usaha tindak balas yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 7:00 AM