Jong Un (tengah) ketika menghadiri satu mesyuarat di Pyongyang. FOTO  EPA/KCNA
Jong Un (tengah) ketika menghadiri satu mesyuarat di Pyongyang. FOTO EPA/KCNA
Reuters

Pyongyang: Korea Utara melaporkan 232,880 individu yang mengalami simptom demam, dan enam lagi kematian selepas tercetusnya wabak Covid-19 di negara itu buat pertama kali, minggu lalu.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan berapa ramai individu diuji positif untuk Covid-19.

Susulan itu, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menyelar tindak balas negaranya terhadap wabak Covid-19 yang pertama disahkan secara rasmi sebagai "tidak matang" selain menuduh pegawai kerajaan tidak mencukupi ketika kes demam melanda negara itu, lapor media kerajaan pada Rabu.

Ketika mempengerusikan mesyuarat Politbiro Parti Pekerja yang memerintah pada Selasa, Kim berkata, ketidakmatangan dalam kapasiti negara untuk menghadapi krisis meningkatkan "kerumitan dan kesukaran dalam memerangi wabak", lapor KCNA.

Sejak pengakuan pertama wabak Covid-19, Korea Utara merekodkan 1.72 juta pesakit dengan gejala demam, termasuk 62 kematian setakat petang Selasa.

Di tengah kebimbangan mengenai kekurangan vaksin dan infrastruktur perubatan yang mencukupi di negara terpencil itu, KCNA memaklumkan pegawai kesihatan membangunkan panduan rawatan Covid-19 bertujuan mencegah pengambilan ubat berlebihan dan rawatan tidak betul hingga menyebabkan banyak kematian dilaporkan.

Panduan ini termasuk rawatan secara individu untuk jenis pesakit yang berbeza namun media negeri tidak memperincikan jenis ubat terbabit dalam pelan (rawatan)..

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 9:34 AM