GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Pyongyang: Selepas lebih dua tahun tahun, Korea Utara akhirnya mengesahkan kes pertama Covid-19 dan mengisytiharkan 'kecemasan negara yang teruk' dengan pemimpinnya, Kiim Jong Un berikrar untuk menghapuskan virus itu.

Negara bersenjata nuklear itu sebelum ini tidak pernah mengakui adanya kes Covid-19, dengan kerajaan mengenakan sekatan ketat di sempadannya, sejak tercetusnya wabak virus itu pada 2020.

Bagaimanapun, Agensi Berita Pusat Korea melaporkan sampel yang diambil daripada pesakit demam di ibu negara adalah konsisten dengan varian Omicron yang sangat mudah ditularkan virus itu.

Pegawai tertinggi, termasuk pemimpin Kim Jong Un, mengadakan mesyuarat tergempar politbiro untuk membincangkan wabak itu dan mengumumkan mereka akan melaksanakan sistem kawalan virus kecemasan maksimum.

Menurut KCNA, Jong Un memberitahu mesyuarat itu bahawa matlamatnya adalah untuk menghapuskan wabak itu 'sehingga ke akarnya' dalam tempoh masa yang paling singkat.

"Beliau memberi jaminan kepada kami bahawa kerana kesedaran politik rakyat yang tinggi. Kami pasti akan mengatasi kecemasan dan memenangi projek kuarantin kecemasan," katanya.

Jong Un meminta kawalan sempadan dan langkah penutupan yang lebih ketat.

Semua aktiviti perniagaan dan pengeluaran akan diuruskan supaya setiap unit kerja diasingkan untuk mengelak penularan penyakit, tambah KCNA.

Pakar percaya Korea Utara tidak memberi vaksin kepada mana-mana daripada 25 juta penduduknya selepas menolak tawaran vaksinasi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China dan Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 10:04 AM