Kim Jong Un menyertai mesyuarat mengenai rancangan kecemasan bagi mengekang penularan Covid-19 di Pyongyang. - FOTO AFP
Kim Jong Un menyertai mesyuarat mengenai rancangan kecemasan bagi mengekang penularan Covid-19 di Pyongyang. - FOTO AFP
AFP

Seoul: Korea Utara merekodkan 21 lagi kematian akibat 'demam', dua hari selepas Pyongyang mengumumkan kes pertama Covid-19 dan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara itu.

Media negara itu melaporkan, sebanyak 174,440 kes baharu 'demam' dikesan, semalam, dengan 21 orang meninggal dunia.

"Pada 13 Mei (semalam), sejumlah 174,440 kes baharu demam dilaporkan di seluruh negara, manakala 81,430 pulih dan 21 meninggal dunia," lapor KCNA.

Laporan itu tidak memperincikan sama ada mangsa terbabit positif Covid-19 atau tidak, namun pakar mendakwa Korea Utara kekurangan kapasiti untuk melaksanakan ujian saringan secara besar-besaran.

"Jumlah mereka yang jatuh sakit di seluruh negara ialah 524,440 orang, dengan 234,630 sudah pulih sepenuhnya, 288,810 sedang dirawat dan 27 meninggal dunia, setakat ini," menurut laporan itu.

KCNA turut melaporkan, Korea Utara mengadakan mesyuarat kedua Politburo, minggu ini, dengan diselia pemimpin, Kim Jong Un yang menekankan bahawa wabak itu mencetuskan 'pergolakan besar' di Korea Utara.

Korea Utara sudah mengaktifkan 'sistem kuarantin kecemasan maksimum' bagi mengekang penularan virus dalam kalangan penduduknya yang tiada menerima vaksin.

Kelmarin, Korea Utara mengesahkan pesakit yang demam di Pyongyang dikesan positif jangkitan varian Omicron, termasuk seorang meninggal dunia.

Ia adalah pengesahan rasmi yang pertama kes Covid-19 di Korea Utara yang melaksanakan sekatan sejak awal pandemik sehingga memberi kesan besar terhadap ekonominya.

Menurut laporan media negara itu, kematian berkenaan disebabkan 'kecuaian termasuk dos ubat berlebihan, akibat kekurangan ilmu pengetahuan mengenai kaedah rawatan saintifik.'

"Mesyuarat pemimpin tertinggi negara membincangkan pengedaran ubat-ubatan kecemasan dengan segera dan memperkenalkan cara rawatan saintifik serta kaedah rawatan untuk pesakit berlainan, termasuk yang mengalami keadaan khusus," lapor KCNA.

Laporan berkenaan turut memetik Jong Un berkata, beliau percaya negara berkenaan mampu mengatasi penyakit berjangkit itu dalam tempoh sesingkat mungkin.

Dengan penguatkuasaan perintah berkurung di seluruh negara, Jong Un menegaskan, negara itu akan mengikut model pencegahan virus yang dilaksanakan oleh China.

"Kita akan mengambil pengajaran daripada pengalaman dan pencapaian Parti Komunis China serta rakyatnya dalam usaha mencegah penularan virus," katanya.

Menurut pakar, Korea Utara memiliki sistem kesihatan yang lemah - disifatkan antara terburuk di dunia - selain kekurangan ubat-ubatan dan peralatan penting.

Sebelum ini, Korea Utara dilaporkan menolak tawaran bekalan vaksin Covid-19 daripada China dan skim COVAX bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 3:57 PM