GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

New Delhi: Mahkamah India pada Rabu membenarkan ikat jamin terhadap tiga penuntut yang ditahan di penjara kerana meraikan kekalahan pasukan India kepada Pakistan pada perlawanan kriket Piala Dunia T20 tahun lalu, kata peguam mereka.

Tiga penuntut itu ditangkap di Uttar Pradesh dekat utara India pada Oktober dan didakwa dengan hasutan hanya beberapa hari selepas Pakistan menewaskan India, di Dubai.

Media tempatan melaporkan, Arsheed Yusuf, Inayat Altaf Sheikh dan Showkat Ahmed Ganai, yang menuntut di sebuah kolej kejuruteraan dekat bandar Agra, didakwa memuat naik kandungan tidak sepatutnya di media sosial dan melaungkan slogan anti-India.

Kesemua mereka berasal dari Kashmir ditadbir India, di mana sentimen anti-India tersebar luas di wilayah majoriti Muslim yang dipertikaikan selama beberapa dekad itu.

Beberapa hari selepas perlawanan, Ketua Menteri Uttar Pradesh iaitu negeri paling ramai penduduk di India, berkata, sesiapa yang meraikan kemenangan Pakistan akan didakwa dengan hasutan.

Polis melancarkan siasatan lain di Kashmir selepas beberapa ratus penuntut turut meraikan kekalahan itu.

Kemarahan terhadap kerajaan nasionalis Hindu Narendra Modi memuncak sejak Ogos 2019 selepas pembatalan status wilayah separa autonomi kepada Kashmir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 10:43 AM