FOTO hiasan. FOTO Agensi
FOTO hiasan. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki maut selepas seekor monyet membaling batu bata ke arahnya di tingkat dua sebuah bangunan di kawasan Nabi Karim, dekat sini.

India Express melaporkan, polis tempatan mengesahkan mangsa, Mohammad Kurbaan, 30, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, penjual beg itu pengsan selepas diserang dengan batu-bata oleh binatang berkenaan sebelum dia dikejarkan ke hospital.

Hasil siasatan mendapati batu-bata itu berada di atas tangki air bagi mengelakkan monyet liar membukanya.

Bagaimanapun, sekumpulan monyet itu berjaya mengalihkan kedua-dua batu-bata itu dengan mencampaknya kepada mangsa, manakala, batu lain dilempar ke kawasan perumahan berdekatan.

Awal bulan lalu, isteri kepada pemimpin parti Bharatiya Janata (BJP), Anil Kumar Chauhan, maut semasa cuba melarikan diri daripada serangan monyet di rumahnya di bandar Kairana.

Sushma Devi, 50, maut akibat mengalami kecederaan serius selepas melompat dari tingkat atas rumahnya, 9 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 11:23 AM