BANGUNAN pejabat berbentuk kubu atas air.
BANGUNAN pejabat berbentuk kubu atas air.
Zaitie Satibi

Artis berketurunan Denmark dan Iceland, Olafur Eliasson berjaya menyiapkan seni bina pertamanya iaitu bangunan pejabat berbentuk kubu pertahanan dikenali sebagai Fjordenhus di Vejle Fjord, Denmark.

Fjordenhus adalah ibu pejabat Kirk Kapital, syarikat pelaburan dimiliki tiga beradik lelaki yang mempunyai kaitan terus dengan pengasas Lego.

Ia adalah bangunan pertama yang direka sepenuhnya Studio Olafur Eliasson yang sebelum ini bekerjasama dalam projek seni bina termasuk dewan konsert Harpa di Reykjavik dan Serpentine Pavilion 2007 di London serta pembinaan jambatan Cirkelbroen di Copenhagen.

Keunikan Fjordenhus yang dibina seakan-akan muncul dari air di pelabuhan di bandar Vejle. Bangunan yang boleh diakses umum ini membolehkan pengguna memasukinya menerusi jambatan ke tingkat bawah bangunan dan laluan bawah tanah yang menghubungkan bahagian dek luar.

BATU-BATA berlainan warna untuk kemasan luar bangunan.
BATU-BATA berlainan warna untuk kemasan luar bangunan.

Pengguna dapat menikmati pemandangan pelabuhan menerusi jambatan yang dihiasi karya seni khusus laman dihasilkan Eliasson sendiri. Di atas ruang tinggi dua tingkat ini, terdapat tiga tingkat pejabat untuk Kirk Kapital.

“Pelanggan mahukan persekitaran tempat kerja yang menekankan kualiti dan berkaitan dengan ciri semula jadi, cahaya, cuaca dan musim serta bandar Vejle Fjord ini sendiri.

“Saya bertanya sendiri kepada mereka jika mahukan ia dibina di atas air. Banyak masa diluangkan untuk berbincang dan meyakinkan mereka berkenaan pembinaan bangunan atas air ini seperti dikehendaki,” kata Eliasson.

LALUAN pejalan kaki dilengkapkan arca seni.
LALUAN pejalan kaki dilengkapkan arca seni.

Bangunan itu dibina berhampiran sebidang tanah yang turut dibangunkan Kirk Kapital. Selain blok perumahan, pembangunan itu membabitkan plaza dan jeti yang direka arkitek seni bina, Gunther Vogt.

Dijangka bangunan itu dan plaza bakal menjadi lokasi tumpuan awam dari pusat bandar ke pelabuhan. Tiga bersaudara ini berharap penduduk akan berbangga dengan Fjordenhus selain mengiktirafnya sebagai mercu tanda baru bandar berkenaan.

Bentuk geometri bangunan dibina daripada empat silinder. Dinding dalaman dan luaran bangunan pula dibina daripada 970,000 batu-bata dengan 15 warna.

Kemasan luar dinding bangunan mempunyai kombinasi batu-bata berlainan bergantung kepada cahaya yang diterima. Bata berwarna biru berkilat digunakan lebih banyak di bahagian bawah manakala bata biru tidak berkilat di bahagian atas bangunan.

KOMBINASI batu-bata khusus di bahagian tangga.
KOMBINASI batu-bata khusus di bahagian tangga.

Ruang dalaman juga mempunyai kombinasi batu-bata khusus untuk kegunaan bilik. Contohnya, hanya bata kelabu dan perak yang digunakan di tangga. Batu-bata yang berongga untuk pengedaran udara diletakkan bersama kemasan dalam dinding bangunan untuk mengawal bunyi dan suhu.

Pemasangan batu-bata dipilih secara digital oleh studio Olafur Eliasson untuk mencipta ruangan dinamakan sebagai komposisi mini seni.

Menurut Eliasson, pembinaan bangunan itu membolehkan beliau mendapat pengalaman bekerja dengan hasil seni berskala lebih besar.

“Saya mesti memberi penghormatan atas kepercayaan pelanggan kerana bukan saja menerima idea ini, malah membenarkan saya bekerjasama dengan jurubina lain seperti Sebastian Behmann yang sudah banyak membina bangunan terkenal.

“Kerjasama kami mengubah persepsi, fizikal, cahaya, alam semula jadi dan gabungan pengalaman kepada bangunan hasil kerja seni serta struktur seni bina yang berfungsi,“ katanya.

PERABOT turut direka arkitek bangunan.
PERABOT turut direka arkitek bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 9:00 AM