Gambar hiasan menunjukkan umat Islam menunaikan solat di sekeliling Kaabah. - FOTO AFP
Gambar hiasan menunjukkan umat Islam menunaikan solat di sekeliling Kaabah. - FOTO AFP
Agensi

Riyadh: Sebanyak 85 peratus kuota diperuntukkan bagi jemaah dari negara luar untuk musim haji tahun ini.

Saluran televisyen Al-Arabiya yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melaporkan, jumlah itu mewakili sejuta jemaah dari seluruh dunia, dan selebihnya adalah rakyat Arab Saudi.

Ini bermakna kuota bagi jemaah haji domestik tidak melebihi 150,000 orang, manakala 850,000 jemaah lagi adalah dari negara di seluruh dunia, kata sumber itu.

Keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada sebilangan besar umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan haji selepas mengambil kira sekatan yang dilakukan dalam tempoh dua tahun lalu, susulan penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi kenyataan memaklumkan jumlah jemaah dari luar yang dibenarkan mengerjakan haji tahun ini akan mengikut kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara dan mengambil kira pematuhan semua kriteria penjagaan kesihatan.

Menurut kenyataan itu, musim haji tahun ini hanya terbuka kepada jemaah berusia 65 tahun ke bawah dan sudah menerima vaksin Covid-19 yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Katanya, jemaah haji dari luar negara perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan PCR Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas ke Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 6:40 PM