Jeddah: Pihak berkuasa Arab Saudi memberi jaminan jemaah haji yang tiba di negara itu untuk menunaikan rukun Islam kelima tahun ini tidak akan tunggu lama di lapangan terbang bagi proses berkait dengan imigresen.

Seorang jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz berkata, pihak berkuasa di lapangan terbang berkenaan sudah melaksanakan prosedur untuk memastikan setiap jemaah cuma mengambil masa 45 minit bagi proses berkenaan.

Jemaah haji sebelum ini menghabiskan masa tiga jam di lapangan terbang berkenaan untuk tujuan imigresen.

Sementara itu, jumlah penerbangan yang mendarat di lapangan terbang itu semakin meningkat.

Sehingga kelmarin, lebih 100,000 jemaah dengan 469 penerbangan tiba di terminal haji.

Jumlah penerbangan dijangka terus meningkat sehingga ia sampai ke kemuncaknya apabila bulan
Zulhijjah bermula.

Lembaga Penerbangan Awam (GACA) bekerjasama rapat dengan pelbagai jabatan kerajaan dan agensi swasta dalam usaha memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:55 AM