KOLAM yang boleh ‘memuatkan’ bangunan 20 tingkat. FOTO Deep Dive Dubai
KOLAM yang boleh ‘memuatkan’ bangunan 20 tingkat. FOTO Deep Dive Dubai
Agensi

Dubai: Deep Dive Dubai, kolam buatan manusia terdalam di dunia yang lengkap dengan bandar bawah laut diuar-uarkan antara keajaiban kejuruteraan moden.

New York Post melaporkan kolam itu sedalam 60.2 meter (m) dari atas ke bawah, lebih dalam daripada pemegang rekod sebelumnya, Deepspot di Poland dengan 45m, lapor CNN.

Sebagai perbandingan, kedalaman boleh memuatkan bangunan 20 tingkat dengan mengambil kira ketinggian minimum setiap tingkat adalah 3.2m.

Deep Dive Dubai diiktiraf dalam Guinness World Records kolam terdalam untuk menyelam pada 27 Jun.

Sekiranya itu tidak cukup mengagumkan, lubang berukuran besar itu menyimpan 14 juta liter air setanding dengan jumlah isi padu air pada enam kolam renang bersaiz Olimpik.

Bagaimanapun, penyelam perlu memakai pakaian sesuai kerana suhu air adalah 86 darjah Fahrenheit (30 darjah Celcius) dan mereka dinasihatkan untuk memakai pakaian seluar nipis.

Tarikan bintang Deep Dive adalah pada sistem gua yang rumit dan metropolis bawah laut yang luas yang mana penyelam seolah-olah menjelajah kota Atlantis.

Penyelam juga boleh bermain bola sepak meja di arked bawah air.

Di samping itu, kompleks kolam itu berfungsi sebagai studio filem akuatik yang terbesar seumpamanya di rantau ini dilengkapi ruang penyuntingan di kemudahan yang sama.

"Terdapat beberapa kolam menyelam di dunia yang dalam, tetapi yang ini jauh lebih menarik," kata pengarah Deep Dive Dubai, Jarrod Jablonski.

Untuk memastikan keselamatan penyelam, Deep Dive dilengkapi dengan 56 kamera, ruang hiperbarik dan kemudahan bilik rawatan mampu menampung 12 orang pada satu-satu masa, sekiranya berlaku kecemasan.

Tetamu tidak perlu resah jika mereka tidak mempunyai kemahiran menyelam, kerana tarikan ini menawarkan kursus menyelam untuk semua peringkat dan juga lawatan berpandu.

Sayangnya, Deep Dive pada masa ini hanya dapat diakses melalui jemputan tetapi akan dibuka kepada masyarakat umum, akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 7:10 AM