Izlaily Nurul Ain Hussein


USIA baru mencecah 15 tahun namun Muhammad Aqhar Aqeel Azaham, 15, menjadi penyelam termuda di dunia tahun lalu yang berjaya memperoleh sijil kelayakan Junior (Jr) Master Scuba Diver.

Dia yang selesa dipanggil Aqeel itu, turut memiliki empat lesen menyelam profesional yang melayakkannya menyelam di dasar laut.

Kelayakan diiktiraf Professional Association Diving Instructors (PADI) beribu pejabat di Australia itu dipercayai turut menjadikannya remaja Malaysia pertama peroleh sijil menyelam berkenaan.

Menceritakan detik awal, bapanya, Azaham Abdul Karim, 44, berkata, Aqeel dibawa ke kolam renang seawal usia empat tahun.

“Dia suka terjun dalam air, selain sukakan tempat tinggi dan laut. Dia belajar sendiri berenang dan menyelam.

“Ketika usia 13 tahun, saya terbabit dengan kerja marin dan berjumpa dengan beberapa penyelam profesional.

“Saya berbual dengan mereka berkaitan bidang penyelaman dan bertanya Aqeel sama ada dia minat menyelam. Sejak itu Aqeel memulakan langkah mendalami bidang ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir, Tampoi di sini.

Bapa kepada enam anak itu mula membawa Aqeel mengambil ujian dan lesen pada Disember 2017 di kolam renang, sebelum mengambil lesen bagi menyelam di laut terbuka pada tahun lalu.

Biarpun kos perbelanjaan untuk bidang penyelaman itu mahal namun sebagai bapa dia sanggup berkorban malah rasa berbaloi apabila Aqeel menunjukkan kesungguhan.

“Alatan menyelam mencecah antara RM7,000 hingga RM20,000, manakala kos lesen bernilai RM1,000 setiap satu,” katanya.

Aqeel berjaya memperoleh empat lesen dengan lima sijil skill khusus yang melayakkannya mendapat kelulusan Jr Master Scuba Diver.

Empat lesen menyelam yang diperolehnya adalah Open Water (OW), Jr Advance Open Water (jAOW), Emergency First Respond (EFR) dan Jr Emergency Rescue (jER).

Aqeel turut menguasai sijil khusus iaitu PADI Specialty Enriched Air (Nitrox), PADI Specialty Night Dive, PADI Specialty Jr Peak Performance Bouyancy, PADI Under Water Navigator Specialty dan PADI Full Face Mask Specialty.

Remaja yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini kini mengikuti latihan menyelam bersama Megladon Dive Academy (MDA) di Melaka.

Bercerita berkaitan kepuasan diperoleh, Aqeel berkata, dia pernah terserempak ikan jerung, pari manta (ikan pari terbesar di dunia) dan ikan singa (lion fish) yang sukar ditemui.

“Selain menyelam untuk suka-suka, saya sebenarnya puas apabila dapat melihat kehidupan laut yang sukar ditemui. Memang ada perasaan bimbang namun latihan diperoleh menjadikan saya lebih berani.

BADAN kecil tidak melemahkan semangat membawa alatan menyelam yang berat.
BADAN kecil tidak melemahkan semangat membawa alatan menyelam yang berat.

“Antara lain, saya dapat menyelam dengan skill drift. Ia lebih mencabar dan laju kerana kita akan bergerak mengikut arus laut,” katanya yang memasang impian untuk menyelam di pulau Maldives dan pulau di Sydney, Australia.

Antara lokasi laut yang pernah diterokai Aqeel adalah Pulau Tioman, Pulau Mabul, Sabah; Nusa Penida, Bali dan Krabi, Thailand.

Menurut Aqeel, dia tidak akan berhenti menambah sijil menyelam kerana dia sendiri bercita-cita mahu menjadi penyelam komersial dan berkhidmat di dasar laut.

“Menyelam banyak tahap dan saya terikat dengan had umur. Untuk umur sekarang, saya layak pada tahap Jr Master Scuba Diver dan insya-Allah saya akan meneruskan latihan untuk memperoleh kelayakan yang lebih tinggi.

“Saya akan berhenti sementara untuk memberi fokus kepada PT3 dan pada tahun depan saya akan cuba menambah lagi sijil skill khusus termasuk lake dive, side mount dan deep dive.

“Ada lebih 20 sijil khusus dan saya mahu mengumpulkan semuanya satu hari nanti,” katanya.

Aqeel yang berketinggian 172 meter (m) dan berat 52 kilogram (kg) perlu mengangkat tong gas seberat 12 kg sebelum turun ke laut untuk menyelam.

“Seberapa lama di bawah bergantung kepada bekalan gas. Kandungan gas pula bergantung kepada kepenggunaan kita dan cara bernafas. Jika saya, biasanya satu tong gas yang penuh membolehkan saya berada antara 30 minit hingga 40 minit di dasar.

“Saya menjadikan pengajar saya, Helmi Daud dan Dive Master, Muhd Aeri Azlan Sabtu sebagai idola dan mereka banyak membantu saya.

“Ada lebih 20 sijil khusus dan saya mahu mengumpulkan semuanya satu hari nanti,” katanya.

Ibunya, Normiewani Nordin, 43, berkata, dengan pendedahan yang diberikan kepada Aqeel seawal usia sebegini menjadikan Aqeel lebih matang dan mempunyai semangat tinggi untuk berjaya.

“Dia banyak mendapat sokongan rakan penyelam yang lain memandangkan hanya dia seorang yang masih muda, manakala rakan lain lebih dewasa dan berusia 20-an ke atas.

“Bila dia pergi menyelam, saya rasa nak menangis, takut, risau, bimbang bila tengok laut kerana setiap lokasi menyelam, ia akan memberi cabaran berbeza.

“Tetapi, Aqeel ini banyak bercampur dengan golongan dewasa dan profesional, itu memberi semangat kepadanya untuk belajar,” katanya.

PENGORBANAN besar ibu bapa dalam memastikan impian Aqeel tercapai.
PENGORBANAN besar ibu bapa dalam memastikan impian Aqeel tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:10 AM