TALI air di kawasan Bumbung Lima, Kepala Batas kering berikutan fenomena cuaca panas sehingga 35 darjah celcius yang melanda di negeri ini sejak bulan lalu. FOTO Bernama
TALI air di kawasan Bumbung Lima, Kepala Batas kering berikutan fenomena cuaca panas sehingga 35 darjah celcius yang melanda di negeri ini sejak bulan lalu. FOTO Bernama
BERNAMA

STATUS gelombang haba di sembilan negeri Semenanjung hari ini, dilaporkan berada pada Tahap 1, yakni paras berjaga-jaga, manakala hanya kawasan Pendang di Kedah pada Tahap 2 (Heatwave) iaitu suhu antara 37 dan 40 darjah Celcius.

Berdasarkan kemas kini Jabatan Metrologi Malaysia (MET) sehingga 5.20 petang tadi, 21 kawasan berada di pada Tahap 1 iaitu dengan suhu mencecah antara 35 dan 37 darjah Celcius.

Kawasan disenaraikan ialah, Chuping di Perlis; Kota Setar, Sik, Baling dan Kulim (Kedah); Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Batang Padang (Perak); Jerantut, Raub, Temerloh, Maran dan Bentong (Pahang); Hulu Selangor, Sepang dan Petaling (Selangor).

Turut tersenarai, Port Dickson (Negeri Sembilan), Melaka Tengah (Melaka), Tangkak di Johor dan Kuala Lumpur.

Gelombang haba berkenaan dijangka berlarutan selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, Sabah dan Sarawak pula mencatatkan suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celcius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 8:19 PM