Kawasan awam yang ditutup kepada orang ramai di Singapura bagi membendung penularan Covid-19. Foto AFP
Kawasan awam yang ditutup kepada orang ramai di Singapura bagi membendung penularan Covid-19. Foto AFP
BERNAMA

Singapura: Wanita tempatan berusia 84 tahun menjadi korban ke-36 yang dilaporkan di negara ini pada Sabtu, menurut Kementerian Kesihatan.

"Wanita itu disahkan positif Covid-19 pada 15 Jun lalu, belum menerima vaksin dan mempunyai sejarah penyakit kanser, hipertensi dan hyperlipidaemia," kata kementerian malam tadi.

Dikategorikan di bawah kes 64,255, warga emas itu menjalani ujian saringan Covid-19 pada 15 Jun sebagai sebahagian ujian pengawasan komuniti untuk pengunjung ke '115 dan 116 Bukit Merah View'.

Korban terakhir dilaporkan pada 21 Jun lalu.

Sehingga tengah hari Sabtu, jumlah kes di republik itu adalah sebanyak 62,530.

Secara keseluruhan, 62,181 pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan rawatan masyarakat.

Buat masa ini, terdapat 143 pesakit masih menerima rawatan di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala empat lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada dalam keadaan kritikal.

Setakat ini, terdapat 39 kluster terbuka Covid-19 yang terbesar dikaitkan dengan 'Kluster 115 Bukit Merah View Market & Food Centre' yang kini mempunyai 89 kes disahkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 1:41 PM