ORANG ramai menjalani ujian saringan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ORANG ramai menjalani ujian saringan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kemunculan berterusan kluster baharu terutama kluster tempat kerja sepanjang pelaksanaan fasa satu Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) setakat ini boleh menggugat usaha kerajaan membendung penularan wabak koronavirus maut Covid-19.

Untuk tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 5 Jun hingga 10 Jun 2021 (Rangkuman Mingguan)sahaja, berdasarkan laporan harian KKM, sebanyak 138 kluster baharu dilaporkan dan 97 kluster (70.2 peratus) daripadanya adalah kluster tempat kerja.

Jumlah kluster baharu tertinggi dilaporkan pada 6 Jun sebanyak 30 kluster dan 18 daripadanya adalah kluster tempat kerja, dengan tujuh (7) dilaporkan di Johor.

Pada 9 Jun, 13 daripada 15 kluster baharu yang dilaporkan adalah kluster tempat kerja dengan lima berlaku di Selangor.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 22 lagi kluster baharu dan 18 daripadanya adalah kluster tempat kerja dengan tujuh (7) di Selangor.

Sehingga 10 Jun, Malaysia mencatat sejumlah 2,422 kluster, dengan 1,677 daripadanya, ditamatkan dan 745 kluster masih aktif.

Kerajaan melaksanakan SPP fasa satuselama dua minggu berkuat kuasa 1 Jun 2021sebagai usaha untuk melandaikan semula keluk penularan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, sebanyak 5,671 lagi kes positif Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan di negara ini sebanyak 79,848 kes, sementara kes kumulatif sebanyak 639,562 kes.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, Selangor masih mencatat kes harian baharu tertinggi iaitu 1,510 kes, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 769 kes dan Sarawak 631 kes.

Kes harian baharu tertinggi Malaysia sejak wabak Covid-19 melanda negara ini pada 25 Januari 2020 dilaporkan pada Sabtu 29 Mei iaitu sebanyak 9,020 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar KPK 8 Jun lalu, antara lain menyatakan, "Situasi penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius. Bahaya penularan Covid-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) bagi menampung kes-kes Covid-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekali pun.

"Situasi ini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai data atau situasi semasa ini."

Kadar penggunaan katil Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei 2021 hingga 104 peratus pada 6 Jun 2021 dan kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.

Hospital di seluruh negara juga dilaporkan sedang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 bergejala serius (kategori 4 dan 5) yang memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit lain (co-morbidity).

Dr Noor Hisham sebelum ini dipetik berkata, Malaysia memerlukan antara tiga hingga empat bulan untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19.

Ini ditambah dengan pengesanan varian baharu COVID-19 iaitu Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI).

Sehingga 9 Jun, KKM melaporkan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 161 kes, terdiri daripada 145 kes VOC dan 16 kes VOI.

Berikut adalah rekod kes harian baharu yang dicatat sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 5 Jun hingga 10 Jun 2021:-

5 Jun (7,452 kes); 6 Jun (6,241 kes); 7 Jun ( 5,271 kes); 8 Jun (5,566 kes); 9 Jun (6,239 kes) dan 10 Jun ( 5,671 kes).

Setakat semalam, sebanyak 911 kes dimasukkan di ICU dan 462 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 639,562 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 39 dalam senarai 216 negara yang dilanda pandemik Covid-19, mengatasi Nepal (598,813 kes) dan Emiriah Arab Bersatu (589,813 kes).

Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar pada Khamis melaporkan seramai 73 orang lagi menjadi korban Covid-19. Ini menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 3,684.

Jumlah kes kematian menunjukkan trend penurunan kepada dua angka sepanjang tempoh Rangkuman ini kecuali pada Sabtu 5 Jun (109 kes).

Kes kematian tiga angka dilaporkan pada Rabu 2 Jun 2021 (126 kes).

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini :-

5 Jun 109 kes (105 WN, 4 BWN); 6 Jun - 87 kes (84 WN, 3 BWN); 7 Jun - 82 kes (80 WN, 2 BWN); 8 Jun- 76 kes (75 WN, 1 BWN); 9 Jun- 75 kes (74 WN, 1 BWN); 10 Jun - 73 kes (70 WN 3 BWN).

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

Selangor masih mencatat kes kematian tertinggi iaitu 5 Jun (33 kes), 6 Jun ( 34 kes), 7 Jun ( 23 kes), 8 Jun (18 kes), 9 Jun ( 23 kes) dan 10 Jun (29 kes).

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, Malaysia masih dibelenggu kemunculan kluster baharu terutamanya di tempat kerja.

Antara kluster tempat kerja yang dilaporkan:-

5 Jun - Kluster Jalan Kampung Yoh, Sebauh, Bintulu, Sarawak; 58 kes positif daripada 83 individu yang disaring, membabitkan pekerja sebuah syarikat binaan di Jalan Kampong Yoh, Jalan Bintulu-Miri, Sebauh.

6 Jun - Kluster Jalan Kebun Sayur, Muar, Johor; 55 kes positif Covid-19 daripada 145 individu yang disaring di sebuah kilang di Jalan Kebun Sayur, Bukit Bakri, Muar.

7 Jun - Kluster Industri Kampung Gebuk, Seremban, Negeri Sembilan; 57 kes positif Covid-19 daripada 112 individu yang disaring. Hasil saringan membabitkan pekerja sebuah ladang penternakan ayam di Kampung Gebuk, Pajam, Mantin, Seremban.

8 Jun - Kluster Ocean Blue, Kota Kinabalu, Sabah; 99 kes positif Covid-19 daripada185 individu yang disaring. Hasil saringan ke atas sebuah institusi awam di Sepanggar, Kota Kinabalu.

9 Jun - Kluster Industri Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu; 103 kes positif Covid-19 daripada 1,500 individu yang disaring di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Telok Kalong.

10 Jun - Kluster Tapak Bina Jalan Kolam Air Lama, Kepong, WPKL; 131 kes positif membabitkan pekerja di sebuah tapak binaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 12:50 PM