Foto hiasan
Foto hiasan
Agensi

Singapura: Seramai 11 wanita dan 11 lelaki warga Malaysia ditahan berikutan hasil siasatan bersama pihak berkuasa kedua negara terhadap kes penipuan pekerjaan membabitkan 250 mangsa di Singapura.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Ehwal Komersial (CAD) Polis Singapura bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) berjaya membongkar sindiket penipuan pekerjaan berpangkalan di selatan Malaysia itu.

Menurut satu kenyataan polis Singapura yang dilaporkan media tempatan itu, pasukan polis Johor menyerbu empat premis di negeri itu pada 21 Jun lalu dan menahan 22 orang berusia antara 15 tahun dengan 28 tahun yang disyaki terbabit dengan sindiket itu.

Ketika operasi, sebanyak 48 peralatan telekomunikasi, 12 komputer riba dan risalah latihan dirampas.

Pengarah CAD David Chew berkata, sindiket itu menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan mangsa melintasi sempadan antarabangsa dengan tawaran pekerjaan palsu yang dijanjikan pulangan lumayan.

"Sebagai sebahagian daripada tipu muslihat, mangsa harus membuat pesanan di melalui e-dagang dan membuat pembayaran ke akaun bank pihak ketiga dengan alasan ia akan meningkat penilaian peniaga dalam talian," katanya.

Menurutnya, CAD dengan kerjasama pihak berkuasa di Johor berjaya bertindak merentasi sempadan antarabangsa sebagai tindak balas terhadap ancaman itu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Johor Dauk Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan pegawai mereka atas sokongan dan komitmen dalam menangani sindiket jenayah transnasional," katanya.

Polis mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah untuk melindungi diri mereka sendiri daripada menjadi mangsa penipuan.

Polis turut menyenaraikan panduan dan perkara-perkara yang harus diberi perhatian ketika mencari pekerja termasuk jangan terima tawaran pekerjaan yang meragukan iaitu menawarkan pulangan lumayan dengan usaha yang minimum.

Abaikan sekiranya diundang ke ruang sembang kumpulan di media sosial yang mempromosikan pekerjaan sambilan berkaitan dengan mana-mana pasaran dalam talian, sekat nombornya dan laporkan kumpulan itu ke aplikasi Scamshield.

Sentiasa mengesahkan kesahihan tawaran pekerjaan dengan e-dagang rasmi di laman web. Wadah e-dagang tidak akan pernah meminta memindahkan wang ke akaun bank dengan janji akan mengembalikan wang dengan komisen serta jangan klik URL yang mencurigakan atau memuat turun aplikasi yang tidak diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 3:37 PM