Faris Fuad


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja menggunakan platform e-dagang selepas menahan sembilan individu termasuk seorang wanita warga Thailand di sebuah rumah dekat ibu negara, 15 April lalu.

Dalam serbuan jam 4.30 petang itu, sepasukan anggota serta pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menahan lima lelaki dan empat wanita berusia antara 17 hingga 37 tahun.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Superintendan Mahidisham Ishak, berkata turut dirampas 57 telefon bimbit, empat komputer riba dan tujuh set komputer bagi membantu siasatan.

"BSJK IPD Wangsa Maju menjalankan siasatan selepas menerima laporan dari seorang wanita berusia 20 tahun di Balai Polis Jalan Tun Razak pada 14 April lalu, mendakwa ditipu dalam urusan mendapatkan pekerjaan menerusi e-dagang.

"Selepas diterima bekerja, pengadu diarahkan membuat tujuh pembelian dan dijanjikan akan terima semula bayaran itu beserta komisen lapan peratus bagi setiap pembelian.

"Pengadu membuat tujuh transaksi pembelian tetapi hanya dibayar dua pembelian sahaja. Akhirnya, pengadu membuat laporan polis membabitkan kerugian RM11,194," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas modus operandi sindiket itu yang aktif sejak bulan lalu, Mahidisham berkata, terdapat tiga fasa untuk memperdayakan mangsa.

"Fasa satu sindiket akan menyebarkan mesej tawaran kerja melalui WhatsApp. Kemudian mangsa akan dimasukkan dalam 'group' atau kumpulan aplikasi itu untuk membeli barang daripada e-dagang.

"Mangsa akan terima mesej daripada ahli sindiket bersama pautan e-dagang dan nombor akaun ditetapkan sindiket. Mangsa akan membuat transaksi ke dalam akaun itu," katanya.

Mahidisham berkata, hasil siasatan mendapati ahli sindiket itu dibayar gaji RM100 sehari.

"Kita masih memburu dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an dipercayai terbabit sindiket berkenaan.

"Sembilan suspek itu pula masih dalam tahanan reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahidisham berkata, polis membuka 67 kertas siasatan membabitkan modus operasi sama dengan kerugian RM689,850 di seluruh negara setakat ini.

"Daripada jumlah kertas siasatan itu, 27 disiasat JSJK Kuala Lumpur membabitkan kerugian RM246,892," katanya.

Mahidisham (kiri) menunjukkan gambar suspek dan barang rampasan dalam kes penipuan tawaran kerja e-dagang pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
Mahidisham (kiri) menunjukkan gambar suspek dan barang rampasan dalam kes penipuan tawaran kerja e-dagang pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 4:34 PM