GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Lebih 60 peratus aduan penipuan e-dagang diterima Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) membabitkan penipuan pembelian telefon pintar dari negara jiran.

Pengerusi MCCA, Siraj Jalil berkata, rekod kes penipuan e-dagang dikumpul pihaknya mendapati seramai 1,257 mangsa ditipu dengan jumlah kerugian mencecah RM1.6 juta bagi tempoh Februari 2020 hingga Februari lalu.

"Antara aduan diterima membabitkan seorang penuntut universii berusia 20-an yang mahu membeli telefon pintar dari Indonesia. Ia dijual pada harga RM2,500 melalui iklan di Instagram.

"Dalam kes ini, mangsa wanita memasukkan wang RM2,500 ke dalam akaun bank milik individu tempatan. Mangsa bagaimanapun dimaklumkan perlu membayar antara RM770 hingga RM7,500 atas pelbagai alasan termasuk barang berkenaan didakwa 'sangkut' di bahagian kastam.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih RM10,000 kerana ditipu sindiket terbabit," katanya kepada wartawan Harian Metro.

Siraj berkata, wujud sindiket penipuan e-dagang yang licik menggunakan media sosial bagi mempromosikan barang jualan 'hantu' pada harga murah tidak masuk akal untuk menjerat mangsa.

"Berdasarkan aduan diterima, kami mendapati modus operandi sindiket yang menjual telefon pintar pada harga yang murah ini adalah mengiklankan tawaran di media sosial terutama Instagram.

"Bayangkan harga pasaran bagi telefon pintar berkenaan adalah antara RM5,000 hingga RM7,000. Namun ia dijual pada harga RM2,500.

"Tawaran tidak masuk akal itu menyebabkan ramai golongan muda yang tertarik untuk membelinya.

"Kebanyakan aduan yang kami terima membabitkan tawaran penjualan telefon pintar didakwa dari Indonesia serta Singapura," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terperdaya dengan tawaran harga murah tidak masuk akal yang dipromosikan melalui iklan di media sosial.

"Ada akaun Instagram yang digunakan sindiket berkenaan mempunyai jumlah pengikut yang agak tinggi sekali gus meyakinkan orang ramai bahawa perniagaan itu benar-benar wujud.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli barang yang dijual di media sosial pada harga murah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

"Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya melakukan semakan terlebih dulu sebelum membuat pembelian," katanya.

Berita berkaitan

Penipuan online naik 80%

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 5:31 PM