Etnik Uighur di Xinjiang.
Etnik Uighur di Xinjiang.
Agensi

Beijing: Sistem kamera menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pengecaman wajah bertujuan untuk mempamerkan keadaan emosi dikatakan diuji pada etnik Uighur di Xinjiang.

BBC melaporkan seorang jurutera perisian mengaku memasang sistem itu di balai polis di wilayah berkenaan.

Seorang penyokong hak asasi manusia yang diperlihatkan bukti berkenaan terkejut dengan penemuan itu.

Kedutaan Besar China di London tidak menjawab dakwaan itu, tetapi mengatakan hak politik dan sosial di semua etnik dijamin.

Xinjiang menempatkan 12 juta etnik minoriti Uighur yang kebanyakannya beragama Islam dengan penduduk di wilayah itu diawasi setiap hari.

Kawasan ini juga menempatkan 'pusat vokasional' yang sangat kontroversi disebut kem tahanan keselamatan tinggi oleh kumpulan hak asasi manusia.

Dianggarkan, lebih sejuta orang ditahan di kem berkenaan.

Beijing berpendapat pengawasan diperlukan di wilayah itu kerana puak pemisah yang ingin menubuhkan negara sendiri.

Dalam pada itu, jurutera perisian terbabit bersetuju untuk bercakap mengenainya kepada program Panorama, tetapi dengan syarat BBC tidak mendedahkan identitinya kerana takut akan keselamatannya.

Dia menunjukkan lima gambar tahanan Uighur yang menurutnya diuji sistem pengecaman emosi.

Peranannya memasang kamera berkenaan di balai polis.

"Kami meletakkan kamera pengesan emosi tiga meter dari subjek, ia sama dengan alat pengesan bohong, tetapi menggunakan teknologi yang jauh lebih maju," katanya.

Dia mendakwa pegawai menggunakan kerusi khas yang banyak dipasang di balai polis di seluruh China.

"Pergelangan tangan anda dikunci pada pengikat logam, begitu juga pergelangan kaki anda," katanya.

Dia memberikan bukti sistem AI itu digunakan untuk mengesan dan menganalisis perubahan pada ekspresi wajah dan pori-pori kulit.

Menurut dakwaannya, perisian itu menghasilkan carta pai dengan segmen merah mewakili keadaan minda yang negatif atau cemas.

Kedutaan Besar China di London tidak menjawab pertanyaan mengenai penggunaan perisian pengecam emosi di wilayah itu.

Tetapi ia menegaskan hak politik, ekonomi dan sosial dan kebebasan beragama dalam semua etnik di Xinjiang dijamin sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 7:01 AM