Beijing: Lebih 450 orang terbunuh di wilayah Xinjiang tahun lalu dengan sebahagian besarnya etnik minoriti Uighur yang beragama Islam, menurut kumpulan hak asasi manusia.

Wilayah berkenaan menyaksikan beberapa kekacauan meletus yang didakwa pihak berkuasa China berpunca daripada keganasan dilakukan kumpulan pemisah.

Kumpulan Projek Hak Asasi Uighur (UHRP) yang berpejabat di Washington berkata, mereka memperoleh maklumat itu dengan berdasarkan data daripada media China dan luar negara.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, 235 hingga 240 yang terbunuh itu etnik Uighur dan 80 hingga 86 orang Han, etnik majoriti China tetapi menjadi kaum pendatang di wilayah Xinjiang.

Jumlah itu lebih sekali ganda berbanding 2013.

Kumpulan itu berkata, peningkatan berkenaan membuktikan dasar kekerasan yang dilakukan oleh kerajaan China dan suasana keselamatan yang semakin buruk di wilayah itu sejak Xi Jinping menjadi Presiden China dua tahun lalu.

“Hasil kajian itu mencetuskan kebimbangan dalam beberapa aspek. Tindakan keras terhadap etnik Uighur yang beragama Islam hanya timbulkan lebih banyak keganasan dan menyebabkan lebih ramai etnik itu dibunuh,” kata pengarah UHRP Alim Seytoff.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:54 AM