GRIEZMANN tidak lagi menjadi duta jenama Huawei disebabkan syarikat berkenaan terbabit dalam penindasan etnik Uighur. FOTO AFP
GRIEZMANN tidak lagi menjadi duta jenama Huawei disebabkan syarikat berkenaan terbabit dalam penindasan etnik Uighur. FOTO AFP
AFP

Paris: Pemain Barcelona yang membantu Perancis muncul juara Piala Dunia, Antoine Griezmann berkata dia menamatkan kontrak penajaan dengan Huawei berhubung syarikat gergasi telekomunikasi China itu terbabit dengan penindasan umat Islam Uighur.

"Berikutan bukti kukuh bahawa Huawei menyumbang kepada pembangunan untuk mengesan etnik Uighur menerusi perisian imbasan muka, saya dengan segera menamatkan hubungan bersama syarikat berkenaan," kata Griezmann.

Firma penyelidikan pengawasan berpangkalan di Amerika Syarikat, IPVM berkata, Huawei terbabit dalam ujian perisian imbasan muka di China yang boleh menghantar isyarat kepada pihak polis jika mereka mengesan rupa etknik Uighur.

China mendapat kritikan yang hebat dari seluruh dunia berikutan polisi di wilayah Xinjiang, selepas laporan kumpulan hak asasi manusia berkata, sejuta etnik Uighur dan minoriti masyarakat Islam lain ditahan dalam kem tahanan.

China mempertahankan tindakannya dengan menyatakan ia hanyalah kem latihan vokasional yang bertujuan membasmi keganasan dan menyediakan peluang pekerjaan.

Griezmann, penyerang mengetuai skuad Perancis muncul juara Piala Dunia 2018, dilantik menjadi duta jenama Huawei sejak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 11:36 PM