ANTARA tunjuk perasaan menyokong Muslim Uighur. FOTO fail AFP
ANTARA tunjuk perasaan menyokong Muslim Uighur. FOTO fail AFP
Agensi

Beijing: China menggesa Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Britain untuk membatalkan sidang video dijadual berlangsung esok susulan tindakan keras Beijing terhadap minoriti Muslim Uighur.

Negara itu turut meminta negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lain untuk tidak menghadiri acara itu.

Gesaan itu berikutan penahanan sekurang-kurangnya sejuta etnik Uighur dan individu dari kumpulan lain yang kebanyakannya Muslim di kem di wilayah Xinjiang dekat barat laut China.

Kumpulan hak asasi dikatakan menuduh pihak berkuasa mensterilkan wanita dan memaksa individu terbabit bekerja secara paksa.

Sementara itu, Misi Diplomatik China ke PBB dalam satu kenyataan berkata, sidang video itu hanya pembohongan semata-mata dan politik berat sebelah.

Beijing mendesak penaja bersama untuk segera membatalkan acara itu yang mengganggu urusan dalaman China, dan meminta negara anggota lain untuk menolak acara berkenaan.

"Keadaan semasa di Xinjiang adalah yang terbaik dalam sejarah dengan kestabilan, pembangunan ekonomi yang pesat dan wujud bersama yang harmoni antara individu dari semua etnik," kata kenyataan itu.

Selain isu di kem, jutaan umat Islam di China dikatakan hidup dalam kesengsaraan di bawah sistem pengawasan dan kawalan.

Amerika Syarikat baru-baru ini menyatakan bahawa layanan terhadap komuniti Uighur adalah genosid iaitu 'pembunuhan besar-besaran".

Kenyataan itu bagaimanapun dibidas oleh China dalam satu kenyataan

"AS mendakwa mengambil berat terhadap hak asasi manusia Muslim sedangkan negara itu adalah dalang di sebalik pembunuhan umat Islam di Afghanistan, Iraq dan Syria.

"AS dan pengikutnya sudah membunuh jumlah umat Islam terbesar di dunia," kata China dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 10:36 AM