FOTO tular menunjukkan tahanan Palestin dibawa ke satu lokasi.
FOTO tular menunjukkan tahanan Palestin dibawa ke satu lokasi.
Agensi

Gaza: Seorang pemuda Palestin berusia 22 tahun menceritakan pengalaman buruknya kepada BBC ketika dia ditahan bersama puluhan tahanan yang lain oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di utara Gaza, pada Khamis lalu.

BBC melaporkan, rakaman yang disahkan oleh media penyiaran United Kingdom itu menunjukkan sekumpulan lelaki dibogelkan dengan hanya tinggal pakaian dalam, melutut di atas tanah dan dikawal oleh tentera Israel.

Lelaki enggan dikenali demi keselamatannya itu berkata, dia terpaksa duduk di atas jalan selama berjam-jam, digari dan ditutup mata, sebelum dihalau.

"Semua tahanan dibawa dengan trak dari Beit Lahia di utara Gaza ke tempat yang tidak diketahui.

"Sebaik tiba, kami dipilih secara rawak untuk disoal siasat. Perkara yang ditanya adalah sama ada mempunyai hubungan Hamas," katanya.

Satu imej yang masih belum disahkan oleh BBC menunjukkan lelaki ditutup matanya, berlutut di dalam kawasan yang kelihatan seperti sebuah lubang pasir yang besar.

Lelaki itu berkata, tempat dia, bapa, abang dan lima sepupunya dibawa adalah berpasir dan mereka ditinggalkan di sana dalam keadaan hampir telanjang, tetapi diberi selimut pada waktu malam.

Selepas disoal siasat, dia berkata, kemudian mereka dibawa ke lokasi lain sebelum disuruh pulang kira-kira 1.40 pagi membiarkan mereka berkaki ayam berjalan di dalam gelap di jalan yang penuh dengan batu dan kaca.

"Mereka membebaskan kami semua, kecuali ayah dan sepupu sulung. Ayah saya bekerja di Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA). Saya tidak tahu mengapa IDF menahannya," katanya.

Seorang lelaki yang ditahan, Diaa al-Kahlout yang masih belum dibebaskan, adalah wartawan untuk The New Arab kata rakan sekerjanya, Lamis Andoni.

Andoni berkata, beberapa tahanan yang sudah dibebaskan memberitahu keluarga al-Kahlout bahawa wartawan itu sudah dipindahkan ke pangkalan tentera Zikim di Israel.

"Kami tidak tahu nasibnya. Foto dan video tahanan itu mengerikan, saya terkejut," katanya kepada program PM BBC Radio 4.

Menyifatkan al-Kahlout sebagai seorang yang sangat bercita-cita tinggi, beliau berkata rakan wartawan itu selalu tersenyum di wajahnya.

Andoni berkata, salurannya bercakap dengan tentera Israel adalah melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dia berkata, dakwaan IDF bahawa al-Kahlout hanya suspek yang diperlukan untuk menyiasat adalah bukan jawapan yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 12:40 PM