SEORANG wanita Palestin cedera ketika menyertai tunjuk perasaan di Pintu Gerbang Damsyik di Majid Al-Aqsa. FOTO AFP
SEORANG wanita Palestin cedera ketika menyertai tunjuk perasaan di Pintu Gerbang Damsyik di Majid Al-Aqsa. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Dianggarkan seramai 80 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran malam kedua dengan polis Israel di Masjid Al-Aqsa di sini, menurut Palang Merah Palestin dalam satu kenyataan.

Seramai 14 orang dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

BBC News melaporkan, susulan insiden itu, polis Israel mengesahkan sekurang-kurangnya seorang anggotanya cedera dalam insiden berkenaan

Insiden itu dikatakan berlaku apabila sekumpulan penunjuk perasaan membantah keputusan mahkamah yang mengusir enam keluarga Palestin dari kejiranan Sheikh Jarrah.

Penunjuk perasaan dikatakan melemparkan batu ke arah polis Israel dan menyalakan api.

Polis Israel kemudian bertindak balas dengan melepaskan bom asap dan meriam air.

Kelmarin, lebih daripada 200 rakyat Palestin dan sekurang-kurangnya 17 polis Israel cedera dalam pertempuran berhampiran Masjid Al-Aqsa, kata pegawai perubatan dan polis.

Pertembungan pada Sabtu itu berlaku di Pintu Gerbang Damsyik di Majid Al-Aqsa ketika puluhan ribu umat Islam menunaikan solat tarawih di masjid berkenaan.

Terdahulu, polis Israel menahan puluhan bas yang membawa jemaah ke masjid, dan sejumlah rakyat Palestin ditangkap susulan insiden, kelmarin.

Dalam pada itu, Presiden Palestin Mahmud Abbas mengutuk serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 10:37 AM