SEORANG pemuda Palestin ditahan polis Israel kerana membantah tindakan rejim Zionis mengehadkan kemasukan orang Islam ke Masjid al-Aqsa, semalam.
SEORANG pemuda Palestin ditahan polis Israel kerana membantah tindakan rejim Zionis mengehadkan kemasukan orang Islam ke Masjid al-Aqsa, semalam.

Baitulmaqdis: Penunjuk perasaan Palestin sekali lagi bertempur dengan polis Israel di Masjid al-Aqsa semalam selepas rejim Zionis menyekat penduduk Islam bersolat di Masjid Al-Aqsa.

Empat penduduk Palestin ditahan dan tiga polis Israel cedera dalam kejadian itu.

Polis menggunakan bom asap untuk menyurai 400 orang yang berkumpul di pintu masuk masjid.

Ini kali kedua pertempuran berlaku selepas rejim Israel menyekat kemasukan penduduk Islam ke masjid berkenaan, tempat ketiga paling suci bagi umat Islam.

Hanya warga Palestin berusia 50 tahun ke atas dibenarkan untuk memasuki pekarangan Al-Aqsa.

Keganasan semalam adalah yang terbaru antara penduduk Palestin dan polis Israel di bandar Baitulmaqdis lama.

Isnin lalu, penunjuk perasaan yang berang selepas penganut Yahudi dibenar memasuki perkarangan Al-Aqsa bertempur dengan polis Israel selepas solat subuh.

Ketegangan antara kedua-dua masyarakat itu juga merebak di bahagian lain di timur Baitulmaqdis.

Sementara itu, seorang anggota Parlimen Arab Israel dari Parti Balad Arab memberitahu wartawan, Israel mempunyai rancangan untuk membenarkan puluhan ribu Yahudi memasuki perkarangan masjid itu.

"Dulu kumpulan pelampau Yahudi yang mahu memasuki al-Aqsa. Tetapi kini, kerajaan merancang membawa mereka memasuki pekarangan itu," katanya.

Mufti Baitulmaqdis, Muhammad Hussein bertegas menyatakan, pekarangan itu khusus untuk umat Islam saja walaupun orang Yahudi juga menganggap ia tempat suci mereka. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:40 AM