PELANCONG mengambil kesempatan cuti panjang untuk bersiar-siar di Wangfujing, Beijing. FOTO EPA
PELANCONG mengambil kesempatan cuti panjang untuk bersiar-siar di Wangfujing, Beijing. FOTO EPA
AFP

Beijing: Kira-kira 265 juta penduduk China akan melakukan perjalanan di seluruh negara itu sempena cuti lima hari sempena Hari Pekerja, tahun ini.

Mereka menggunakan kenderaan di jalan raya, kereta api dan kapal.

Pergerakan besar-besaran ini kali terakhir dilihat pada 2019 sebelum penularan virus Covid-19.

Ia sekali gus membayangkan kehidupan rakyat sudah kembali seperti era sebelum pandemik.

Situasi itu juga menyebabkan banyak tarikan pelancongan di negara itu sesak dengan pelancong.

Ratusan orang dilihat mengunjungi Tembok Besar China di Badaling, kira-kira 60 kilometer (km) dari pusat bandar Beijing, dengan kebanyakan daripada mereka tidak memakai pelitup muka.

Menjelang cuti itu pada Jumaat, penumpang membanjiri stesen kereta api di seluruh negara dengan ada yang terpaksa beratur panjang untuk memasuki balai pelepasan.

Jualan runcit kembali meningkat, dengan peningkatan 34.2 peratus pada Mac dan ia membayangkan permintaan optimistik daripada pengguna.

Tetapi, pihak berkuasa sudah memberi peringatan awal dan memberi amaran supaya tarikan pelancongan memperketat peraturan.

Ia termasuk mengehadkan jumlah pengunjung dan mewujudkan sistem tiket yang dapat mengawal jumlah pelawat..

Orang ramai juga perlu mendaftar untuk memasuki tarikan pelancongan dan menunjukkan 'kod kesihatan' iaitu sijil elektronik untuk membuktikan bahawa mereka tidak berisiko untuk menjangkiti orang lain dengan Covid-19.

Meskipun penularan Covid-19 sudah dapat dikawal di China, penularan baharu pada awal tahun memaksa pihak berkuasa mengarahkan pekerja migran untuk duduk di rumah ketika Tahun Baru Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 3:39 PM