TANGKAP layar daripada video stesen televisyen menunjukkan jalan lengang di Yangon akibat ‘mogok diam’ di Myanmar. FOTO AFP
TANGKAP layar daripada video stesen televisyen menunjukkan jalan lengang di Yangon akibat ‘mogok diam’ di Myanmar. FOTO AFP
AFP

Yangon: Seramai 600 tahanan penunjuk perasaan dibebaskan dari penjara ketika kemarahan rakyat semakin memuncak apabila peserta demonstrasi disuraikan secara ganas oleh tentera Myanmar.

Rejim tentera dilihat menggunakan kekerasan dalam usaha meleraikan tunjuk perasaan sehingga ramai terkorban.

Tunjuk perasaan di Myanmar tercetus bagi membantah kudeta pada 1 Februari yang menggulingkan pemimpin negara itu Aung San Suu Kyi.

Pemimpin berusia 75 tahun itu akan dibicarakan pada Rabu, selepas beliau menghadapi beberapa pertuduhan jenayah yang boleh menyebabkannya tidak lagi dibenarkan untuk berpolitik.

Dalam perkembangan terkini, peguam Suu Kyi, Khin Maung Zaw berkata, pendengaran kes pemenang Hadiah Nobel itu ditangguh hingga 1 April depan.

Keputusan itu susulan siaran perbicaraan tidak dapat dijalankan selepas junta menyekat internet di Myanmar.

Sebelum ini, 600 penunjuk perasaan di Yangon ditahan kerana menyertai bantahan terhadap kudeta.

Bagaimanapun, mereka semua dibebaskan pada Rabu dari penjara Insein.

"Seramai 360 lelaki dan 268 wanita dibebaskan dari penjara Insein hari ini," kata pegawai kanan penjara kepada AFP.

Maung Myint yang turut berada di penjara bagi kes pendengaran dua anak guamnya yang lain berkata, sebanyak 16 bas yang membawa tahanan meninggalkan penjara itu pada jam 10 pagi (waktu tempatan).

"Mereka dihantar ke balai polis sebelum pulang ke rumah. Ada anak guam yang hubungi saya maklumkan mereka sudah dibebaskan," katanya lagi.

Media tempatan turut menyiarkan beberapa gambar tahanan di dalam bas sambil melambaikan tabik tiga jari sebagai simbol gerakan anti-kudeta.

Aktivis turut menggesa seluruh rakyat Myanmar untuk mengadakan 'mogok diam' pada Rabu, menyaksikan jalan raya di Yangon dan Naypyidaw menjadi lengang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 3:51 PM