Remaja yang dipukul seorang lelaki di Uttar Pradesh yang tular di media sosial. FOTO Agensi
Remaja yang dipukul seorang lelaki di Uttar Pradesh yang tular di media sosial. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Hanya kerana meminum air, seorang remaja di Uttar Pradesh ditampar dan dipukul seorang lelaki.

Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang kemarahan banyak pihak yang mempersoalkan tindakan itu, lapor media tempatan.

Video berkenaan dimuat naik di Instagram @hinduektasanghh yang sudah dipadamkan.

Remaja itu ditampar lelaki berkenaan berulang kali selepas dimaklumkan pergi ke kuil itu untuk minum air.

Selepas menjadi tular, lebih banyak video berkaitan pelaku itu yang dikongsi di media sosial menunjukkan dia mengugut dan mengganggu orang Islam.

Lelaki yang ditahan Jumaat lalu itu dikenali sebagai Shringi Nandan Yadav dari Bhagalpur, Bihar.

Video berkenaan menunjukkan dia ingin tahu nama remaja itu dan memegang mangsa sambil bertanyakan apa tujuan ke kuil itu.

Namun apabila mangsa memaklumkan dia ke situ untuk minum air, dia ditampar berulang kali sehingga terjatuh.

Perakam video kemudian meminta dia menghentikan perbuatannya, namun tidak diendahkan.

Polis Ghaziabad yang melakukan siasatan dan mengesahkan bertindak menahan lelaki di dalam video berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 2:58 PM