GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Wuhan: Setahun lalu, Wuhan merekodkan kematian pertama akibat Covid-19 dan kini virus itu meragut 1.9 juta nyawa seluruh dunia.

Selepas 12 bulan, kehidupan seharian penduduk bandar ini berjalan seperti biasa dengan kenderaan memenuhi jalan raya dan orang ramai bergerak bebas di kawasan pernah digelar Ground Zero.

Pada 11 Januari tahun lalu, China mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 61 tahun akibat virus tidak diketahui berkaitan pasar basah di bandar ini.

Dunia kemudian dikejutkan apabila virus yang membunuh lelaki itu dikenali sebagai Covid-19.

Namun, tidak ramai yang mengetahui maklumat berkaitan mangsa manakala pasar basah di kawasan itu ditutup sementara waktu.

Pakar bebas belum diberi akses ke pasar basah itu untuk menilai secara terperinci virus berkenaan.

Kini, bandar itu bangkit semula dan penduduknya bangga dengan pencapaian itu.

"Wuhan kota paling selamat di China sekarang, malah di seluruh dunia," kata penduduk Xiong Liansheng, 66, ketika ditemui di sebuah taman awam yang dipenuhi puluhan pasangan yang menari sambil memakai pelitup muka.

Katanya, pematuhan penduduk di Wuhan begitu tinggi sehingga cucunya berusia dua tahun turut memakai pelitup muka jika keluar dari rumah.

China sebelum ini dikritik hebat kerana gagal memaklumkan secara terperinci mengenai virus berkenaan pada awal Januari tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 6:32 AM