MAJLIS graduasi besar-besaran di Wuhan. FOTO AFP
MAJLIS graduasi besar-besaran di Wuhan. FOTO AFP
AFP

Wuhan: Banner besar berwarna merah menyambut kehadiran lebih 11,000 pelajar pada majlis graduasi terbesar pernah diadakan di Wuhan, sejak penularan pandemik Covid-19.

Pelajar memakai jubah biru laut dan topi segi empat siswazah serta duduk di barisan yang sesak, tanpa mengamalkan penjarakan fizikal atau memakai pelitup muka.

Covid-19 pertama kali dikesan di Wuhan, Hubei pada akhir 2019 yang menyaksikan bandar dengan 11 juta penduduk itu dikenakan sekatan pergerakan (lockdown).

Perintah itu hanya mula dilonggarkan secara berperingkat pada April tahun lalu selepas 76 hari tempoh lockdown.

Bagaimanapun, sekolah tidak segera dibuka tetapi ditutup untuk tempoh masa yang lama.

Wuhan mengehadkan majlis graduasi pada tahun lalu.

Lebih daripada 2,000 penuntut yang menghadiri majlis graduasi besar-besaran pada Ahad lalu tidak dapat menghadiri majlis berkenaan, pada tahun lalu.

China berjaya mengekang penularan Covid-19 dengan meningkatkan langkah ketat termasuk kawalan sempadan yang ketat, kuarantin, pengesahan kesihatan secara dalam talian yang mandatori dan pelbagai peraturan untuk perjalanan domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 3:19 PM