FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Jakarta: Sekumpulan individu membuat kecoh di Hospital Brebes, Indonesia kerana mahu menuntut jenazah wanita yang disahkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Detik News melaporkan Pengarah Hospital Brebes, Oo Suprana berkata, kekecohan kerana individu berkenaan tidak berpuas hati dengan hasil keputusan ujian berkenaan.

Beliau berkata, keputusan menunjukkan bahawa pesakit itu, Dewi Wulandari, 33, disahkan positif Covid-19 sebelum meninggal dunia di bilik isolasi hospital itu, pada jam 3 petang kelmarin.

"Hasil pemeriksaan menerusi ujian calitan (swab test) mendapati pesakit positif Covid-19 namun keluarganya tidak dapat menerima kenyataan dan dengan cepat berita itu tersebar ke pengetahuan ahli keluarga dan jiran terdekatnya.

"Tidak lama kemudian, mereka datang ke hospital untuk menuntut jenazah kerana tidak berpuas hati dengan keputusan ujian," katanya. - Agensi

Pengawal keselamatan cuba menghalang kumpulan individu itu namun seorang daripadanya cedera kerana dipukul.

Malah, kumpulan terbabit yang bertindak agresif hingga pintu utama hospital itu pecah.

Mereka kemudiannya dapat mengambil jenazah yang berada di tingkat lima sebelum membawanya pulang dengan menyewa sebuah van pengangkutan awam.

Puluhan anggota polis Brebes datang untuk mengawal lokasi kejadian dan ada yang ditugaskan ke rumah keluarga terbabit untuk mengambil semula jenazah di kampung Sawojajar

Keluarga terbabit mulanya enggan memberi kerjasama dan cuba menghalang anggota polis masuk ke dalam rumah, namun akhirnya terpaksa akur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brebes, Gatot Yulianto berkata, anggota polis dikerahkan mengambil semula jenazah bagi membolehkannya diuruskan petugas hospital mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Memang ada keluarga yang menolak pengurusan dan pengebumian jenazah mengikut SOP tetapi kami cuba jelaskan kepada mereka. Alhamdulillah, mereka memahami ," katanya.

Dalam pada itu, suami mangsa, Sumarlin, 34, berkata, sebelum meninggal dunia, isterinya melahirkan anak mereka di Hospital Brebes sebelum pulang ke rumah tetapi mengalami sesak nafas tiga hari kemudian.

Dia kemudian dibawa semula ke hospital pada petang Jumaat dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

"Sepatutnya, isteri saya boleh pulang pada malam hari berkenaan tetapi tiba-tiba mengalami sesak nafas dan keesokan harinya meninggal dunia.

"Menurut doktor, keputusan ujian diperoleh dalam masa dua hari tetapi dalam sehari, ia sudah diperolehi dan itu yang yang membuat kami tidak menerimanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 6:40 AM