DUBAI. FOTO fail AFP
DUBAI. FOTO fail AFP
AFP

Dubai: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan pada Sabtu bahawa negara itu memansuhkan undang-undang yang memboikot Israel.

Ia selepas kedua-dua negara bakal menandatangani perjanjian damai.

Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan mengeluarkan perintah untuk 'memansuhkan Undang-undang Persekutuan No 15 (1972) berhubung memboikot Israel dan penalti jika melanggar undang-undang itu'.

"Adalah dibenarkan untuk memasuki, bertukar atau memiliki barangan Israel dan mendagangkannya," laporan agensi berita rasmi WAM.

UAE akan menjadi negara Teluk pertama dan negara Arab ketiga yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Bagaimanapun, langkah itu dianggap sebagai pengkhianatan oleh rakyat Palestin.

Menurut WAM, individu atau syarikat kini boleh mengadakan perjanjian dengan firma atau individu yang menetap di Israel.

Keputusan UAE itu sebelum ketibaan delegasi Israel-Amerika ke Abu Dhabi dengan pesawat komersial pertama dari Israel pada Isnin.

Delegasi itu yang diketuai oleh pembantu tertinggi dan menantu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Jared Kushner dan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Isreal Meir Ben Shabbat.

Ia bagi meningkatkan kerjasama dua pihak berhubung penerbangan, perdagangan, kesihatan dan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 9:09 AM