TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan tertuduh melompat ke arah hakim berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan tertuduh melompat ke arah hakim berkenaan.
AFP

Los Angeles: Tertuduh yang cuba menyerang hakim ketika mahu menjatuhkan hukuman atas kesalahan keganasan dihadapinya, enggan hadir ke prosiding kesnya pada Khamis lalu.

Deobra Redden sepatutnya menjawab tuduhan berhubung serangan dramatiknya terhadap Hakim Mary Kay Holthus di bilik mahkamah di Las Vegas, sehari sebelumnya.

Namun, Redden, 30, enggan hadir ke mahkamah, lapor Las Vegas Review Journal.

Pada kejadian Rabu lalu itu, Redden cuba menyerang Holthus ketika hakim itu mahu menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Dalam video tular, kakitangan mahkamah bertindak melindungi hakim, di samping menarik tertuduh.

Serangan kejam itu membuatkan hakim terperanjat dan seorang marsyal dimasukkan ke hospital.

Semasa perbicaraan Khamis, Hakim Pro Tempore Lauren Diefenbach memerintahkan supaya jaminan Redden kekal pada AS$54,000 (RM250,803) buat masa ini, lapor Review Journal.

"Saya tidak selesa membuat sebarang keputusan tanpa kehadiran defendan," kata Diefenbach.

Redden diarahkan kembali ke mahkamah, pada Selasa depan.

Pendakwa raya Clark County, Steve Wolfson berkata, Redden berbahaya kepada masyarakat selepas dunia menyaksikan insiden itu.

Redden, yang sebelum ini menjalani hukuman penjara untuk keganasan domestik, akan dijatuhi hukuman kerana cubaan keganasan dengan kecederaan serius apabila dia menyerang.

Dia kini menghadapi tuduhan tambahan iaitu keganasan kepada orang yang dilindungi, yang mengakibatkan kecederaan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 11:32 AM