LAWRENCE Faucette. FOTO Fakulti Perubatan Universiti Maryland
LAWRENCE Faucette. FOTO Fakulti Perubatan Universiti Maryland
Agensi

Washington: Pesakit jantung di Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini menjadi penerima jantung babi yang diubah suai secara genetik, meninggal dunia pada Isnin lalu, lapor The Straits Times.

Pegawai Pusat Perubatan Universiti Maryland berkata, Lawrence Faucette, 58, disahkan meninggal dunia selepas hampir enam minggu menerima organ itu.

Faucette yang berasal dari Frederick, Maryland, adalah pesakit kedua di pusat perubatan berkenaan yang melalui prosedur pemindahan jantung babi yang diubah suai secara genetik.

Organ yang sudah diuji itu dikatakan lebih serasi dengan penerima manusia dan tidak akan ditolak oleh sistem imun manusia.

Pakar bedah dan pengarah program saintifik xenotransplantasi jantung di pusat perubatan itu, Dr Muhammad Mohiuddin berkata, beliau terbabit dalam prosedur pemindahan jantung itu kepada Faucette, termasuk memantau keadaan kesihatan ketika proses pemulihan pesakit berkenaan.

Seorang lagi pakar bedah, Dr Bartley Griffith berkata, hasrat terakhir Faucette adalah supaya pasukannya memanfaatkan sepenuhnya apa yang sudah pelajari.

"Berdasarkan daripada pengalaman kami, orang lain mungkin mempunyai peluang untuk jantung baharu apabila organ manusia tidak tersedia," katanya.

Menurutnya, selepas pembedahan ke atas Faucette, jantung yang dipindahkan itu berfungsi dengan baik tanpa tanda-tanda penolakan pada bulan pertama.

Menurutnya lagi, Faucette dapat melakukan terapi fizikal dengan tujuan untuk mendapatkan semula keupayaannya untuk berjalan.

Selain Faucette, pesakit pertama yang menjalani prosedur sama, David Bennett, 57, meninggal dunia pada 2022 iaitu dua bulan selepas pemindahan jantung babi diubah suai itu.

Dia mengalami pelbagai komplikasi, dan kesan virus yang menjangkiti babi ditemukan di dalam jantung barunya.

Kedua-dua pesakit berkenaan mempunyai penyakit jantung sebelum menerima organ yang dipindahkan. Malah, keduanya tidak berjaya pulih sepenuhnya untuk dibenarkan keluar dari hospital.

Namun, doktor mengatakan bahawa Bennett tidak menunjukkan sebarang tanda penolakan akut terhadap jantung baharu yang mana ia adalah risiko paling ketara dalam pemindahan organ.

Sementara itu, pemantauan mendapati jantung baharu yang diterima Faucette pula mula menunjukkan beberapa tanda awal penolakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 11:58 AM