PAKAR menunjukkan jantung babi digunakan dalam prosedur berkenaan. FOTO AP
PAKAR menunjukkan jantung babi digunakan dalam prosedur berkenaan. FOTO AP
Reuters

New York: Pakar bedah di Universiti New York (NYU), Amerika Syarikat (AS) berjaya memindahkan jantung babi yang diubah suai secara genetik kepada dua individu yang sudah disahkan mati otak, menerusi prosedur pemindahan organ, Jumaat lalu.

Menurut penyelidik dalam satu kenyataan Selasa, kejayaan itu selangkah lebih dekat kepada matlamat jangka panjang untuk menggunakan organ babi bagi menangani kekurangan organ manusia.

Dalam satu sidang media, penyelidik memberitahu jantung babi yang dipindahkan itu berfungsi secara normal tanpa penolakan, ketika percubaan tiga hari, pada Jun dan Julai.

Eksperimen itu dijalankan susulan kematian seorang lelaki berusia 57 tahun Mac lalu akibat penyakit jantung terminal.

Sebelum meninggal dunia, lelaki itu mencipta sejarah individu pertama menerima jantung babi yang diubah suai secara genetik.

Bagaimanapun, masih belum jelas mengenai sebab jantung baharunya itu, gagal.

Menurut penyelidik, NYU menerima jantung babi yang diubah suai secara genetik oleh Revivicor Inc dan sudah disaring untuk mengesan virus, menggunakan protokol pemantauan yang dipertingkatkan.

Jantung itu tidak menunjukkan bukti virus babi yang dipanggil porcine cytomegalovirus yang dikesan dalam penerima jantung babi yang meninggal dunia dalam kes sebelum ini, dan mungkin menyumbang kepada kematiannya.

Babi itu mempunyai empat pengubahsuaian genetik untuk mencegah penolakan dan pertumbuhan organ yang tidak normal, dan enam lagi untuk membantu mengelak ketidakserasian antara badan babi dan tubuh manusia.

Penyelidik NYU juga memindahkan buah pinggang babi kepada dua penerima yang mati otak tahun lalu.

Buat masa ini, mereka percaya pemindahan xenotransplantasi lebih selamat pada penerima yang mati otak, berbanding pesakit masih hidup.

Ia juga memberikan lebih banyak maklumat kerana biopsi boleh dilakukan lebih kerap.

Pengarah Institut Pemindahan Langone, Dr Robert Montgomery berkata, ujian lebih kerap memberikan perincian yang luar biasa.

"Kami dapat, dalam masa nyata, untuk (merekodkan) semua yang berlaku dalam tempoh 72 jam itu," katanya.

Penyelidik berkata, perolehan, pengangkutan, pembedahan pemindahan, dan imunosupresi, semua dilakukan dengan cara sama seperti dalam pemindahan jantung manusia biasa.

Eksperimen selama 72 jam itu menghasilkan data awal, namun meninggalkan banyak persoalan perlu dijawab sebelum memulakan ujian jantung babi dan manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 7:30 AM