ALIGATOR albino ditemukan dalam beg pakaian berkenaan. FOTO Agensi
ALIGATOR albino ditemukan dalam beg pakaian berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Munich: Seorang pelancong Amerika Syarikat ditangkap selepas menyeludup seekor aligator albino yang jarang ditemukan, sebelum sempat menaiki pesawat dari Jerman ke Singapura, baru-baru ini.

Reptilia itu ditemukan oleh pemeriksa bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Munich, Bavaria.

Imej imbasan sinar-X mendedahkan aligator putih yang disumbat ke dalam beg pakaian sempit dan dalam keadaan bergulung.

Mirror UK melaporkan, pihak berkuasa mengeluarkan haiwan itu dari bagasi dan mendapati ia berbungkus dengan hanya lubang kecil membolehkan haiwan itu bernafas melalui hidungnya.

Kes jenayah dibuka terhadap 'ahli perniagaan' berusia 42 tahun itu kerana didakwa melanggar undang-undang kebajikan haiwan, dan aligator itu dirampas dan dibawa ke tempat perlindungan reptilia di Munich.

Aligator putih itu dilaporkan dibeli oleh pelanggan pada harga 75,000 euro (kira-kira RM352,930) di Asia, menurut media Jerman.

Di Jerman, adalah menyalahi undang-undang untuk memperdagangkan haiwan liar, membawa spesies haiwan ke dalam negara atau membawanya keluar ke luar negara, tanpa permit.

Di Singapura, pesalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda AS$50,000 (RM236,300) untuk perdagangan hidupan liar haram.

Tetapi akta spesies terancam itu akan dipinda yang bermakna pesalah akan berdepan hukuman lebih tinggi dengan hukuman penjara maksimum meningkat daripada dua tahun kepada enam tahun.

Denda juga akan meningkat sehingga 89,000 euro (kira-kira RM418,813) bagi setiap spesies.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 12:37 PM