ILHAN Omar bercakap kepada media selepas meninggalkan Dewan Perwakilan AS di Washington. FOTO AP.
ILHAN Omar bercakap kepada media selepas meninggalkan Dewan Perwakilan AS di Washington. FOTO AP.
BERNAMA

Washington: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis meluluskan resolusi memecat Ahli Kongres Ilhan Omar daripada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri, susulan kenyataan kontroversinya mengenai beberapa isu termasuk hubungan antara Israel dan AS.

Dewan meluluskan resolusi itu dengan undian 218 menyokong, manakala 211 lagi membantah, lapor Sputnik.

Resolusi itu mendakwa Omar mengeluarkan kenyataan berbaur anti-Semitik dan mengenai serangan pengganas 11 Sept 2001.

"Saya tidak datang ke Kongres untuk berdiam diri... Kepimpinan dan suara saya tidak akan berkurangan jika saya tidak berada dalam jawatankuasa ini untuk satu penggal.

"Suara saya akan lebih lantang serta lebih kuat dan didengari di seluruh dunia seperti yang telah berlaku," kata Omar.

Pada Selasa, Omar yang dilahirkan di Somalia, mengumumkan penubuhan Kumpulan Kerja Dasar AS-Afrika di tengah-tengah ketidakpastian kedudukannya dalam jawatankuasa itu.

Kumpulan kerja berkenaan akan memberi tumpuan kepada penglibatan yang konsisten dengan pakar dan penggubal dasar yang bekerja dengan dan di Afrika, kata Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 12:44 PM