FOTO ilustrasi menunjukkan aplikasi Parler dan gambar West. FOTO AFP
FOTO ilustrasi menunjukkan aplikasi Parler dan gambar West. FOTO AFP
AFP

New York: Rangkaian sosial Parler mengumumkan perjanjian dengan Kanye West bagi pembelian platform yang terkenal dengan golongan konservatif di Amerika Syarikat itu.

Minggu lalu, akaun Twitter dan Instagram penyanyi rap itu dihadkan kerana menyiarkan hantaran yang didakwa anti-Semitik.

Pengarah Eksekutif Parler, George Farmer berkata, West mengambil sikap berani menentang penapisan daripada pihak Big Tech.

Katanya, perjanjian dengan West itu akan mengubah dunia dan cara dunia berfikir mengenai kebebasan bersuara.

Baru-baru ini, West yang dikenali sebagai Ye, membuatkan peminat dan rakan kongsi perniagaannya menjauhinya apabila memuat naik komen anti-Semitik iaitu minat terhadap teori konspirasi perkauman dan memakai baju-T White Lives Matter yang provokatif di minggu fesyen Paris.

"Dalam dunia di mana pendapat konservatif dianggap sebagai kontroversi, kita perlu memastikan ada hak untuk menzahirkan diri kita secara bebas," kata artis jutawan dan mogul fesyen itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Parler.

Keputusan West untuk membeli platform media sosialnya sendiri itu dibuat selepas penyanyi itu bermasalah dengan Twitter dan Instagram milik Meta kerana siaran mengandungi kenyataan anti-Semitik yang melanggar peraturan kandungan platform itu.

Sekatan terhadap lelaki berusia 45 tahun itu di Twitter dan Instagram pada awal Oktober bukanlah kali pertama.

Awal tahun ini, West dilarang menyiarkan di Instagram selama 24 jam selepas melanggar dasar gangguan rangkaian sosial itu di tengah-tengah perceraiannya dengan bintang realiti Kim Kardashian.

Bekas Presiden AS, Donald Trump, yang dirinya diharamkan terus daripada Twitter kerana ciapan yang dianggap menghasut keganasan bercakap dengan West mengenai pembelian Parlernya dan kedua-duanya merancang untuk makan malam, menurut laman berita, Politico.

Parler dilancarkan pada 2018 menjadi wadah bagi penyokong Trump dan pengguna sayap kanan yang mengatakan mereka disekat di platform media sosial.

Rangkaian itu, salah satu daripada beberapa dalam pasaran media sosial konservatif mendakwa, mempunyai lebih 20 juta pengguna sebelum ditarik daripada Apple dan Google.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 10:13 AM