LAVA dari Gunung Berapi Mauna Loa. FOTO Reuters
LAVA dari Gunung Berapi Mauna Loa. FOTO Reuters
AP

Honolulu: Letusan gunung berapi aktif, Mauna Loa selepas 38 tahun, menarik perhatian orang ramai untuk melihat bencana itu dari dekat menerusi Taman Negara Gunung Berapi Hawaii.

Jurucakap Taman Negara, Jessica Ferracane berkata, pelawat berpeluang menyaksikan dua peristiwa letusan iaitu cahaya dari tasik lava Kilauea dan lava dari rekahan Mauna Loa.

"Ini jarang berlaku apabila dua letusan berlaku serentak," katanya.

Sementara itu, penduduk, Nicole Skilling baru sahaja empat tahun berpindah dari kediamannya yang musnah bersama lebih 700 lagi kediaman akibat letusan gunung berapi.

Wanita itu berpindah ke Kona Selatan, sebelum terpaksa mengemas makanan dan keperluannya lagi selepas Mauna Loa meletus, petang Ahad lalu.

Kamakani Rivera-Kekololio, yang tinggal di komuniti Hookena di selatan Kona, turut menyimpan bekalan seperti makanan dan selimut di dalam keretanya.

"Kami bersedia untuk apa sahaja," katanya.

Datuk Bandar Hawaii County Mitch Roth berkata, walaupun tiada arahan pemindahan, segelintir penduduk memutuskan meninggalkan rumah mereka hingga tempat perlindungan di kawasan Kona dan Kau, terpaksa dibuka.

Pegawai pada mulanya bimbang lava yang mengalir di sisi gunung berapi akan menuju ke arah Kona Selatan, namun saintis memberi jaminan kepada orang ramai letusan itu berhijrah ke zon keretakan di sayap timur laut Mauna Loa dan tidak mengancam mana-mana komuniti.

Saintis yang bertanggungjawab di Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii, Ken Hon berkata, aliran lava tidak terlalu laju kurang daripada satu batu sejam atau kira-kira 1.4 kilometer sejam, namun kelajuan sebenar belum jelas.

Katanya, lava melintasi jalan masuk Balai Cerap Mauna Loa pada malam Isnin dan memutuskan bekalan elektrik ke kemudahan itu dan kemungkinan bergerak ke daerah Hilo dalam tempoh seminggu atau lebih lama.

Dalam pada itu, Gabenor David Ige mengeluarkan pengisytiharan darurat.

"Kami bersyukur aliran lava tidak menjejaskan kawasan perumahan pada masa ini, membolehkan sekolah dan perniagaan terus dibuka.

"Saya mengeluarkan Proklamasi Darurat ini untuk membolehkan responden bertindak balas dengan cepat atau mengehadkan akses jika perlu semasa letusan berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 10:34 AM