ANTARA barangan diberikan Musk kepada kekasihnya, untuk dilelong dalam acara satu lelongan.
ANTARA barangan diberikan Musk kepada kekasihnya, untuk dilelong dalam acara satu lelongan.
Agensi

Washington: Bekas kekasih bilionair, Elon Musk melelong pelbagai barangan yang pernah diterima sepanjang mereka menjalin percintaan.

Jennifer Gwynne dan Musk menjalinkan hubungan ketika mereka berdua melanjutkan pengajian di Universiti Pennsylvania.

Barangan yang dilelong antara gambar, kad dan hadiah kini boleh dibida menerusi platform RR Auction yang berpangkalan di Boston.

Antara yang dilelong adalah 18 gambar lelaki terkaya di dunia itu ketika zaman kolejnya termasuk kad hari lahir tulisan tangan Musk.

Bekas kekasihnya juga melelong rantai emas yang diberikan ketika hari lahir wanita itu.

Sehingga Ahad lalu, kad hari lahir yang ditulis 'Love, Elon' menerima 23 bidaan dengan nilai bidaan sebanyak AS$14,000 (kira-kira RM63,105).

Selain itu, pembida turut berminat mendapatkan rantai zamrud dari Zambia.

Lombong di negara Afrika itu dimiliki bapa Musk, Musk Errol seorang pemaju hartanah.

Gambar yang dilelong pula termasuk gambar Musk ketika muda yang tidak pernah didedahkan selama ini.

Gambar itu memperlihatkan Musk melepak bersama rakan, bermain di asrama dan berpelukan dengan Gwynne.

Menurut The Independent, Gwynne bercinta dengan dengan Musk pada 1994.

Keputusan untuk menjual barang itu dibuat bagi mengumpul wang membiayai yuran pengajian kolej anak tirinya.

Ini bukan kali pertama barangan yang dikaitkan dengan usahawan terkenal dijual di laman RR Auction.

Syarikat itu melelong prototaip Apple-1 pertama Steve Jobs pada Ogos dengan harga hampir AS$680,000 (kira-kira RM3 juta).

Dalam temu bual bersama Insider Edition, Gwynne berkata, pemilik Tesla itu sudah membayangkan untuk membangunkan kereta elektrik 30 tahun lalu.

"Dia ada berbicara mengenai kereta elektrik, sebagai sumber bahan api alternatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 1:30 PM