DR Mahathir dan Dr Wan Azizah bersama Pengarah Urusan Platinum Victory Holding Datuk Seri Gan Yu Chai (tengah) yang juga pemenang bidaan di Putrajaya, malam ini. Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
DR Mahathir dan Dr Wan Azizah bersama Pengarah Urusan Platinum Victory Holding Datuk Seri Gan Yu Chai (tengah) yang juga pemenang bidaan di Putrajaya, malam ini. Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Azura Abas; Irwan Shafrizan Ismail; Zanariah Abd Mutalib dan Hashini Kavishtri Kannan


GAMBAR bersejarah sebelum sidang media pertama pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh dilelong pada harga RM500,000.

Ia yang dirakam pada 10 Mei lalu iaitu sehari selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dibeli seorang pembida tempatan selepas bidaan dibuka pada harga bermula RM100,000.

Ia adalah sebahagian gambar pemimpin PH yang dilelong pada Majlis Makan Malam Amal PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, malam ini yang mengutip jumlah keseluruhan RM1.22 juta.

Gambar kedua yang dilelong pada harga tinggi adalah gambar Dr Mahathir memulakan tugas pada hari pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 23 Mei lalu di Pejabat Perdana Menteri.

Gambar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilelong pada harga RM350,000 dibeli pembida bernama Datuk Seri Stanley Tai selepas bidaan dibuka pada harga bermula RM50,000.

Gambar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PH turut dibeli pada harga RM150,000.

Tiga gambar lain yang dibida adalah gambar tiga Timbalan Presiden PH iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada harga RM110,000, Lim Guan Eng (RM100,000) dan Mohamad Sabu (RM10,000).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 11:54 PM