SALMAN Rushdie. FOTO AP
SALMAN Rushdie. FOTO AP
Agensi

New York: Novelis, Salman Rushdie dalam proses pemulihan dua hari selepas pengarang The Satanic Verses mengalami kecederaan serius akibat tikaman di satu acara di bahagian utara bandar ini.

Perkembangan terkini itu disahkan ejennya dan Salman dikhabarkan tidak lagi bergantung dengan alat bantuan pernafasan pada Sabtu dan sudah boleh bercakap serta bergurau.

Ejen sastera Andrew Wylie memberi amaran, walaupun keadaan Salman semakin baik, proses pemulihannya akan mengambil masa yang panjang.

Ini kerana Salman, 75, mengalami kerosakan hati dan saraf di lengan dan mata, kata Wylie sebelum ini, dan berkemungkinan kehilangan mata yang cedera.

Keluarga Salman juga melahirkan rasa terima kasih kepada "ahli penonton yang berani membelanya termasuk polis dan doktor selain kasih sayang dan sokongan dari seluruh dunia."

Hadi Matar, 24, dari Fairview, New Jersey, mengaku tidak bersalah pada hari Sabtu atas tuduhan cubaan membunuh dan menyerang dalam apa yang dikatakan oleh pendakwa raya sebagai serangan yang disasarkan, tanpa provokasi, dirancang awal" di Institusi Chautauqua.

Susulan penerbitan The Satanic Verses, Salman berdepan ancaman bunuh selama tiga dekad kerana ada ganjaran AS$3 juta (kira-kira RM13.4 juta) untuk kepalanya.

Salman juga menghabiskan sembilan tahun bersembunyi di bawah program perlindungan kerajaan United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 10:29 AM