AFP

New York: Penulis kontroversi Britain, Salman Rushdie yang novelnya pernah menyebabkan dia menerima ancaman bunuh di Iran, kini bergantung kepada ventilator dan mungkin akan kehilangan sebelah mata selepas ditikam di sebuah acara di sini.

Selepas serangan sejurus sebelum 11 pagi itu, Rushdie dibawa dengan helikopter ke sebuah hospital di mana dia menjalani pembedahan kecemasan.

"Salman mungkin hilang satu mata, saraf di tangannya cedera, hatinya ditikam dan rosak," kata ejen kepada penulis itu, Andrew Wylie, sambil menambah bahawa Rushdie kini tidak boleh bercakap.

SALMAN Rushdie. FOTO fail Reuters
SALMAN Rushdie. FOTO fail Reuters

Polis New York mengenal pasti suspek insiden pagi Jumaat itu sebagai Hadi Matar, 24, dari Fairfield, New Jersey.

Motif serangan masih belum diketahui.

Polis berkata, Rushdie ditikam di leher dan bahagian abdomen.

Beberapa orang menyerbu ke pentas dan membantu menangkap suspek, sebelum lelaki itu diberkas semula oleh pihak berkuasa yang tiba di lokasi.

Seorang doktor yang juga pengunjung di acara itu memberikan bantuan perubatan sebelum paramedik tiba.

Penemuramah yang turut berada di pentas, Ralph Henry Reese, 73, mengalami kecederaan pada muka tetapi sudah dibenarkan keluar dari hospital, menurut polis.

Insiden itu berlaku di Institusi Chautauqua, yang menjadi tuan rumah acara kesenian di komuniti berhampiran tasik terletak kira-kira 70 kilometer di selatan bandar Buffalo.

Saksi kejadian, LeVan berkata, "penyerang cuba menikam sebanyak kali mungkin sebelum ditahan" sambil menambah dia percaya lelaki itu "mahu membunuh" Rushdie.

Seorang lagi saksi, John Stein, memberitahu ABC bahawa penyerang "mula menikam di bahagian kanan kepala, di leher. Ada darah keluar".

Rushdie, 75, popular selepas novel keduanya, Midnight's Children meraih perhatian antarabangsa dan dia menang anugerah berprestij di Britain, Booker Prize.

Namun, bukunya pada 1988 berjudul The Satanic Verses menyebabkan Iran mengeluarkan fatwa untuk pembunuhannya.

Novel itu dianggap Muslim sebagai menghina Nabi Muhammad SAW.

Rushdie yang dilahirkan di India, terpaksa hidup dalam persembunyian apabila ganjaran ditawarkan untuk pembunuhannya - masih ada sehingga hari ini.

Dia diberikan perlindungan polis oleh kerajaan di Britain, negara yang menjadi tempatnya melanjutkan pengajian dan kemudian menjadi tempat tinggalnya, susulan kes bunuh atau cubaan bunuh membabitkan penterjemah dan penerbitnya.

Dia kemudian bersembunyi selama beberapa dekad, dengan banyak kali berpindah rumah, dan tidak dapat memberitahu lokasi tempat tinggal kepada anaknya.

Rushdie muncul pada akhir 1990-an selepas Iran pada 1998 kata, ia tidak menyokong usaha membunuh lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 9:48 AM