COURTNEY Clenney. FOTO AP
COURTNEY Clenney. FOTO AP
AP

Miami: Seorang model media sosial Florida, didakwa atas pertuduhan pembunuhan tahap kedua berikutan menikam teman lelakinya hingga menyebabkan kematiannya.

Peguam Negeri Miami-Dade, Katherine Fernandez Rundle mengumumkan pertuduhan terhadap Courtney Clenney, 26, dalam satu sidang media.

Fernandez Rundle berkata, Clenney yang ditahan Rabu lalu di Hawaii kekal dipenjarakan di Hawaii sementara pihak berkuasa meminta ekstradisinya ke Florida.

Wanita itu yang menggunakan nama Courtney Tailor di platform Instagram, hadir di mahkamah semalam di mana dia mengetepikan haknya untuk mendengar ekstradisi dan bersetuju untuk kembali ke Florida.

Hakim Henry Nakamoto memerintahkan, tertuduh ditahan tanpa jaminan sementara menunggu ekstradisi.

Fernandez Rundle menyifatkan kematian Christian Obumseli di apartmen Miami pasangan itu pada 3 April lalu sebagai kemuncak hubungan yang hebat dan agresif yang bermula pada November 2020.

Pemeriksa perubatan daerah berkata, dalam laporan bedah siasat Obumseli yang bekerja dalam industri mata wang kripto, meninggal dunia akibat tikaman kuat dari bilah yang masuk 7.6 sentimeter ke dadanya hingga menembusi arteri utama.

Menurut laporan penahanan, Clenney mengakui membunuh Obumseli, namun berkata dia bertindak untuk mempertahankan diri.

Dia berkata, Obumseli menolaknya hingga jatuh ke lantai sebelum menyebabkannya mengambil pisau dan melemparkannya ke arah Obumseli dari jarak kira-kira tiga meter.

Namun, pemeriksa perubatan berkata, luka Obumseli tidak mungkin disebabkan oleh pisau yang dilemparkan dari jarak itu.

Peguam bela Clenney di Miami, Frank Prieto berkata, pendapat pemeriksa perubatan tidak akan sesuai dengan penelitian saintifik apabila mereka berhujah mempertahankan diri semasa perbicaraan.

Dia mengakui hubungan Clenney dan Obumseli bermasalah, namun berkata, Obumseli adalah penyerang utama.

"Obumseli adalah pendera, jenis pendera yang paling teruk.

"Dia akan memanipulasi dan menyalahgunakan Clenney secara peribadi apabila dia fikir tiada sesiapa di sekeliling," Prieto dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 10:15 AM