ALICIA Reynaga. FOTO Agensi
ALICIA Reynaga. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang lelaki ditahan berhubung kematian seorang gadis berusia 15 tahun akibat ditikam di sebuah sekolah menengah di Stockton, California, Isnin lalu.

Mangsa ditikam oleh penceroboh di Sekolah Tinggi Stagg dan ditahan pegawai yang berada di lokasi, lapor CNN.

"Dia tidak melawan ketika dia ditangkap," kata jurucakap daerah Melinda Meza.

Anthony Gray, 52, ditahan berhubung kejadian itu dan ditahan di Penjara Daerah San Joaquin.

Dia akan didakwa atas tuduhan membunuh, menurut catatan Facebook Jabatan Polis Stockton (SPD).

Rekod penjara menunjukkan Gray ditahan tanpa jaminan dan dijadualkan hadir di mahkamah petang Rabu.

CNN tidak segera dapat menentukan sama ada Gray mempunyai peguam.

Polis tidak mendedahkan nama mangsa, tetapi keluarganya mengenal pasti dia sebagai Alicia Reynaga yang berusia 15 tahun.

"Anak perempuan saya tidak mempunyai sebarang musuh... dia seorang anak yang baik, seorang anak yang hebat... Saya hanya rasa ia adalah mimpi. Kami hanya cuba untuk bangun," kata bapanya Manuel Reynaga, memberitahu KCRA.

Pasukan kaunselor dihantar ke Sekolah Tinggi Stagg dan sekolah lain di daerah itu untuk memberi motivasi kepada pelajar dan kakitangan, kata pegawai.

Detektif sedang menyiasat serangan itu dan berusaha untuk menentukan motif dan sama ada terdapat sebarang hubungan antara suspek dengan mangsa, menurut Timbalan Ketua SPD Eric Kane.

"Ini masih siasatan aktif dan kami akan mengeluarkan lebih banyak maklumat apabila ia sudah tersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 10:56 AM