SAIFUDDIN (tiga kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada seorang bekas banduan yang sudah bebas sepenuhnya selepas menjalani Sistem Parol. FOTO Muhamad Lokman Khairi
SAIFUDDIN (tiga kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada seorang bekas banduan yang sudah bebas sepenuhnya selepas menjalani Sistem Parol. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Tanjung Malim: Sebanyak 20 Stesen Parol Daerah (SPD) diwujudkan sebagai pusat transit kepada pegawai parol mengawasi banduan yang menjalani pemulihan dalam komuniti melalui penempatan kerja bersama majikan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata fasiliti itu akan meningkatkan keberkesanan pemantauan dan penyeliaan melalui pelaksanaan intervensi yang efektif terhadap banduan yang dipertimbangkan layak mengikuti sistem parol di luar penjara.

Beliau berkata, inisiatif itu mendukung sasaran bagi mengurangkan kesesakan di dalam 41 penjara di seluruh negara, mengurangkan kadar ulanglakuan jenayah (resividisme) serta membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

"Apabila berjaya kurangkan keberadaan mereka dalam tembok penjara, kita (kerajaan) tak biayai kos minum dan makan mereka. Setahun hampir RM18 juta penjimatan.

"Bukan penjimatan kita jadi keutamaan, tetapi pemulihan dan peluang mereka menyesuaikan diri, bekerja dan boleh biayai keluarga yang mereka tinggalkan," katanya pada sidang media selepas melancarkan SPD Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim, dekat Slim River, di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha itu membabitkan kerjasama dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Jabatan Penjara Malaysia dan Rela.

"Seramai masing-masing 40 anggota Jabatan Penjara Malaysia dan anggota Rela bertugas di setiap SPD bagi melaksanakan penugasan pemantauan dan menyelia Orang Di Parol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Penghuni Bebas Lesen (PBL) yang sedang menjalani pemulihan dalam komuniti.

"SPD yang diwujudkan ini akan menggunapakai ruang pejabat di Pejabat Rela Daerah terpilih.

"Bagi tahun ini, sebanyak 20 SPD diwujudkan secara berperingkat sebagai sokongan kepada 52 Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti sedia ada," katanya.

Turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Mohamad; Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Selain Muallim, 20 SPD itu melibatkan Kulim/Bandar Baharu di Kedah; Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang); Kerian (Perak); Petaling dan Sepang (Selangor); Jasin dan Ayer Keroh (Melaka) serta Port Dickson (Negeri Sembilan)

Selain itu, SPD juga dibuka di Muar dan Mersing (Johor); Maran, Bentong dan Rompin (Pahang); Dungun (Terengganu); Gua Musang dan Pasir Mas (Kelantan); Betong dan Limbang (Sarawak) serta Lahat Datu (Sabah).

Pada majlis sama, Saifuddin turut menyaksikan majlis menandatangani perintah tetap stesen parol antara Jabatan Penjara yang diwakili Nordin, manakala Yahya mewaliki RELA.

Selain itu, turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Jabatan Penjara dengan Sime Darby Plantation Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Operasi Huluan Malaysia, Jefrey Faizal Kamaruddin.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang mewujudkan SPD di setiap daerah di seluruh negara, Saifuddin berkata, beliau merasakan ia wajar, namun perlu mengambil kira kekangan dari sudut peruntukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 8:12 PM